suria

"Tiada persidangan hingga tengah malam"

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak mahu persidangan Dewan Rakyat dilanjutkan sehingga lewat tengah malam.

Ia tidak perlu, katanya sambil menegaskan Dewan Rakyat adalah institusi pengubalan undang-undang dan bukannya satu kumpulan debat.

"Tiada apa-apa selepas tengah malam," katanya sambil menegaskan tempoh munasabah untuk menamatkan persidangan adalah antara pukul 8.30 malam atau 9.30 malam.

Mohamad Ariff berkata adalah tidak masuk akal untuk membahaskan sesuatu isu terlalu lama.

"Saya bercakap mengenai kecekapan, kelajuan dan kualiti. Kecekapan mestilah bersesuaian dengan kualiti.

"Ini adalah institusi pengubalan undang-undang, bukan satu kumpulan debat," katanya dalam satu temubual bersama The Star.

Mohamad Ariff berkata mempunyai pelbagai jawatankuasa terpilih dan 'Kabinet bayangan' boleh membuat prosiding lebih berkesan.

Ahli-ahli jawatankuasa terpilih boleh dijemput untuk menyediakan input mengenai isu demi manfaat ahli parlimen yang tidak mahir dalam bidang ini.

"Itulah yang sepatutnya berlaku, tidak seperti apa yang kita lihat setakat ini di mana beberapa individu berdepan masalah untuk melihat klausa bagi memperbaiki undang-undang."

Kabinet bayangan oleh pembangkang katanya, merupakan langkah terbaik untuk membantu mengurangkan masa di Parlimen dan memastikan kualiti perdebatan yang lebih baik.

Mohamad Ariff berkata Ahli Parlimen mahu menyampaikan hujah mereka semasa sesi perbahasan, namun adakalanya berlaku pengulangan.

"Itulah sebabnya saya percaya ia adalah idea yang bagus untuk mempunyai Kabinet bayangan, sekurang-kurangnya sebagai Speaker, jika ada sesuatu masalah timbul, saya tidak perlu tercari-cari siapa yang perlu menjawab terlebih dahulu.

"Secara langsung, pembahas pertama adalah dari ahli Kabinet bayangan pembangkang," katanya.

Justeru, katanya, Ahli Parlimen yang ingin berbahas mengenai subjek sama tidak perlu mengulangi perkara yang telah dibangkitkan.

Speaker, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Lain