suria

"Kapal Equanimity milik kita"

KLANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Amerika Syarikat  yakin bahawa Malaysia sebenarnya adalah pemilik kapal layar mewah Equanimity kerana ia didapatkan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenalli sebagai Jho Low, menggunakan dana yang disalurkan dari  1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, ini didedahkan susulan hasil siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika  Syarikat  (DOJ).

“DOJ melakukan siasatan dan mereka mendapati bahawa kapal layar itu dimiliki oleh Jho Low dan wang yang digunakan untuk membayarnya dicuri dari 1MDB,” katanya kepada pemberita selepas melawat kapal mewah itu, yang diserahkan kepada Malaysia oleh Indonesia pada 7 Ogos, di Boustead Cruise Centre, Sabtu.

Dr Mahathir berkata, Amerika Syarikat mempunyai dokumen yang berkenaan.

"Mereka menyakinkan kita bahawa ini adalah bot Jho Low dan mereka berkata jika kita hendak menyimpannya kita memang layak terhadapnya kerana ia milik kita, dan (kapal layar itu telah) dibeli  dengan wang Malaysia yang dicuri, dan apabila kita menjual kapal ini kelak , kita layak mendapat  hasilnya,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, pembelian kapal itu, yang dianggarkan bernilai RM1 billion, dibuat secara aktiviti wang haram.

“Apabila anda mencuri wang anda perlu menyimpannya di mana-mana, jadi untuk menyorok wang itu mereka membeli harta atau kapal seperti ini, dan mereka berfikir dengan cara ini wang yang dicuri itu bersih,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bercadang untuk menjual kapal mewah ini dengan secepat mungkin, memandangkan ia menelan belanja kira-kira RM2 juta sebulan untuk kos penyelenggaraan sahaja.

Dr Mahathir mencabar Jho Low untuk tampil dan menuntut pemilikan kapal layar mewah ini.

"Jho Low mendakwa bahawa ia milik beliau. Beliau boleh tampil dan tuntut,” kata Perdana Menteri.

Semasa lawatan itu, Dr Mahathir diiringi oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dilaporkan bahawa kapal berkenaan dirampas di perairan Bali oleh pihak Indonesia pada Februari atas  permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat susulan siasatan rasuah melibatkan berbillion dollar dana  1MDB  oleh DOJ.

Bagaimanapun, mahkamah Indonesia memutuskan bahawa rampasan itu adalah haram dan kapal layar itu perlu dipulangkan kepada pemiliknya.

Tetapi pihak berkuasa Indonesia merampas kapal layar itu semula pada Julai susulan permintaan  rasmi bagi nasihat perundangan daripada Amerika Syarikat. Indonesia kemudian bersetuju akan menyerahkan kapal layar itu kepada Malaysia.- Bernama

Kapal Equanimity, Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain