suria

Rafizi persoal kereta nasional ketiga

Rafizi Ramli.

SHAH ALAM: Usaha menubuhkan perusahaan kereta Nasional ketiga akan mendatangkan kesan kewangan besar kepada rakyat.

Naib Presiden Keadilan, Rafizi Ramli berkata, beliau mempersoalkan berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam dan badan kerajaan mana yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek itu.

Menurutnya, adakah Kerajaan Persekutuan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta Nasional ketiga dilancarkan dan apabila Menteri Pembangunan Usahawan telah menetapkan tempoh masa yang khusus iaitu pelancaran projek kereta Nasional ketiga menjelang tahun 2020, beliau tertanya-tanya sama ada satu perancangan khusus yang menilai kesan kewangan kepada negara telah dijalankan?

"Untuk mengurangkan sindiran dan serangan ke atas Kerajaan Persekutuan, saya menyeru supaya ia sewajarnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH terlebih dahulu untuk mendapat persetujuan bersama parti-parti yang membentuk PH.

"Sementara saya menghargai keperluan Jemaah Menteri membuat keputusan, keputusan yang bersabit perkara dasar mestilah diperhalusi secara prinsipnya di peringkat PH sebelum boleh dilaksanakan melalui Jemaah Menteri," katanya.

Rafizi berkata, pandangannya bakal mengundang pelbagai kontroversi namun beliau tidak begitu bimbang dengan serangan dari dalam dan luar apabila beliau menyuarakan pandangan-pandangan berhubung kebajikan rakyat.

Katanya, beliau yakin pentadbiran PH lebih terbuka dengan pandangan dan kritikan membina.

Beliau berkata demikian selepas membaca laporan-laporan akhbar mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan melancarkan projek kereta Nasional yang ketiga menjelang 2020.

Rafizi turut bimbang sekiranya Kerajaan Persekutuan secara berterusan mahu meneruskan projek ini dalam keadaan tentangan rakyat terhadapnya adalah jelas.

Katanya, PH dipilih atas platform untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat, sementara rakyat masih memberi peluang kepada PH untuk melaksanakan janji-janji manifesto (walaupun ada yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari), melaksanakan sesuatu yang tidak popular dan bertentangan dengan tawaran PH akan mengundang rasa sinis rakyat.

Sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, parti-parti yang menjadi majoriti di dalam PH secara berterusan menyatakan hasrat untuk menghapuskan duti eksais yang dikenakan ke atas penjualan kereta kerana cukai kereta itu dilihat sangat membebankan.

Jelas Rafizi, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta menjadi lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Katanya, platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas PH ditubuhkan.

"Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen PH atau manifesto PH yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta Nasional yang ketiga," katanya. - Sinar Harian

Rafizi Ramli, kereta nasional

Artikel Berikut

Artikel Lain