suria

Pengarah syarikat kendali umrah didenda RM18,000

KEMAMAN: Seorang pengarah syarikat pengendali pakej umrah dijatuhi hukuman denda RM18,000 di Mahkamah Majistret Kemaman, kerana gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk memulangkan wang enam jemaah umrah bernilai RM30,900.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Alias Sulaiaman, 53, turut berdepan hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy selepas tertuduh mengaku salah terhadap 12 pertuduhan mengikut Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan dibaca bersama Seksyen 143 akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dan syarikatnya, Madain Al Taqwa Travel &  Tours Sdn Bhd didakwa gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bertarikh 25 November 2015 dalam tempoh empat belas hari dari tarikh award diserahkan iaitu pada 6 Jun 2017.

Tertuduh sebelum ini diperintahkan untuk memulangkan RM7,800 kepada pihak yang menuntut iaitu Kamarudin Yusof, 56, di Pejabat TTPM Kemaman pada 22 Jun 2017.

Selain itu, tertuduh dan syarikatnya turut berdepan 11 lagi pertuduhan sama membabitkan lima lagi mangsa melibatkan kerugian RM23,100.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara kepada tertuduh yang dikenakan enam tuduhan manakala syarikatnya yang berdepan enam tuduhan juga didenda sebanyak RM1,500 bagi setiap kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Mohd Farizul Hassan Bakri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain itu, tertuduh turut berdepan 42 lagi pertuduhan sama membabitkan 21 lagi mangsa dengan kerugian berjumlah RM116,760.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 10 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan sebanyak RM500 bagi setiap kes berkenaan.-SinarHarian

TTPM, umrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain