suria

Rasuah KBS: "Tak perlu buat tuduhan sensasi" kata KJ

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tampil menjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan melibatkan dirinya ketika mengetuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

Bekas menteri belia dan sukan itu menjelaskan isu perolehan dan kedudukan ke lapan kementerian berkenaan dalam amalan rasuah.

"Ranking KBS sebagai antara 10 kementerian tertinggi amalan rasuah adalah menerusi laporan SPRM pada 2016 dan merujuk kepada satu kes yang melibatkan seorang setiausaha Bahagian Kewangan yang sudah didakwa di mahkamah atas penyelewengan sebanyak RM38 juta.

"Penyelewengan ini bermula sebelum saya menjadi menteri. Malangnya satu kes itu telah menjejaskan ranking KBS," jelasnya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Tambah Khairy lagi,  pada masa sama, timbul juga cara perolehan yang menjadi amalan kementerian itu sebelum ini.

"Dari segi tuduhan lain yang dibuat berkenaan dengan cara perolehan yang diamalkan, sama ada proses tender terbuka, terhad, rundingan terus, semuanya telah dibuat saringan. Ada proses tender terbuka, terhad, terus yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan," katanya.

Khairy juga menjelaskan contoh projek yang kononnya diberi kepada syarikat yang berkaitan dengan Umno.

"Projek Akademi Badminton Negara dilaksana secara tender terbuka.

"Projek peralatan IKBN, KBS sudah tolak (menteri akui perkara ini) tetapi diarah untuk buat tender terhad oleh Kementerian Kewangan.

"Kompleks Belia dan Sukan Rembau dibuat secara tender terhad (bukan rundingan terus) disebabkan proses pengambilan tanah memakan masa yang lama dan projek itu terpaksa dipercepatkan.

"Walau apapun, saya tegaskan semua perolehan di KBS pada zaman saya jadi menteri telah mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Saya bersedia untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pihak termasuk menteri sendiri, SPRM dan Jabatan Audit Negara tentang keputusan perolehan pada zaman saya menjadi Menteri," katanya.

Dalam masa sama Khairy turut menyokong keputusan menteri baharu KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menguatkan lagi proses tadbir urus dan integriti di KBS.

"Tetapi ianya tidak perlu dibuat melalui tuduhan-tuduhan yang sensasi tentang apa yang telah berlaku sebelum ini," katanya.

Pada Khamis, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong mendedahkan bahawa kementeriannya berada ditangga ke-8 tahap pelaku salah rasuah.

Beliau berkata, kedudukan itu adalah hasil laporan Kedudukan Rasuah Perkhidmatan Awam (PSCR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016, ia tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.


Artikel Lain