suria

Rasuah: KBS ditangga ke-8!

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berada di tangga kelapan daripada 25 kementerian bagi tahap pelakuan rasuah, kata timbalan menterinya, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, kedudukan itu adalah hasil laporan Public Service Corruption Ranking (PSCR) dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016, yang tidak didedahkan kepada umum sebelum ini.

Justeru, katanya, KBS akan akan memulakan proses rombakan pengurusan serta-merta selepas mendapati sebahagian besar kontrak di kementerian itu dianugerahkan tanpa melalui proses tender terbuka ketika di bawah kerajaan terdahulu.

Kelonggaran proses perolehan dan pembayaran dengan sebahagian besar kontrak  dianugerahkan tanpa melalui proses tender terbuka sebelum ini telah membuka ruang kepada aktiviti penyelewengan, katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun bermula 2016, sebanyak 46 peratus daripada RM777.14 juta jumlah perolehan atau RM357.8 juta telah dilaksanakan tanpa melalui proses tender terbuka, sebaliknya melalui kaedah rundingan terus dan tender terhad.

Namun, katanya, apa yang menghairankan ialah setelah SPRM menahan seorang pegawai KBS kerana aktiviti penyelewengan kementerian berjumlah RM100 juta pada 2016, KBS tetap melaksanakan perolehan tanpa melalui tender terbuka.

Tambahnya, kepincangan yang berlaku dalam kementerian menyebabkan sumber yang sudahpun terhad ekoran peruntukan paling rendah dalam Bajet kerajaan persekutuan tidak dapat digunakan dengan maksimum untuk pembangunan belia dan sukan di negara ini.

Dalam pada itu, Chee Keong berkata kerajaan akan meneruskan semula Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) bersama SPRM yang dihentikan pada Mei tahun lalu."Kami masih menunggu keputusan SPRM untuk menempatkan pegawai bagi meneruskan CRM yang telah ditamatkan sebelum ini" katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, ketika ditemui, berkata kes pegawai  kementerian tersebut yang ditahan kerana aktiviti penyelewengan terbabit, menyumbang kepada ranking dikeluarkan SPRM berkenaan.

Bagaimanapun, Khairy mengakui terdapat beberapa perolehan yang dibuat tanpa melalui tender terbuka, namun ia masih mengikut peraturan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata sebagai contoh, beberapa perolehan di bawah temasya Sukan Sea tahun lepas dibuat tidak mengikut tender terbuka, tetapi melalui proses Permintaan Untuk Cadangan yang mana kementerian menjemput beberapa syarikat untuk memberikan taklimat.

“Misalnya, tender majlis perasmian Sukan Sea 2017, kalau kita buat tender terbuka dengan dokumen sahaja, kita tidak dapat menilai kreativiti, aspek kesenian, aspek persembahan dan sebagainya.

“Jadi, kita jemput banyak syarikat untuk membuat cadangan dan dinilai dari segi kewangan, kreativiti, pengalaman mereka dan sebagainya,” katanya. - Bernama

KBS, Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain