suria

Rakyat Malaysia disahkan maut di Afganistan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi mengesahkan laporan mengenai kematian seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan dibunuh selepas diculik di Kabul, Afghanistan pada Khamis.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata Suruhanjaya Tinggi berkenaan, yang ketika ini ditauliahkan ke Afghanistan, sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Afghanistan bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden tersebut dan membawa pulang mayat mangsa berusia 64 tahun itu.

“Rakyat Malaysia itu yang bekerja di Kabul, diculik bersama-sama dua rakyat warga asing awal minggu ini. Mayat mereka ditemui di Mussahi (33km di selatan Kabul). Tiada kumpulan mendakwa bertanggungjawab terhadap insiden tersebut,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, dilaporkan seorang rakyat Malaysia bersama-sama dua pekerja warga asing – seorang rakyat India dan warga Macedonia, yang bekerja dengan sebuah syarikat pembekal makanan dan katering kedua terbesar di dunia, Sodexo, diculik dan dibunuh oleh kumpulan bersenjata tidak diketahui identiti mereka.- Bernama

Warga Malaysia, Kabul

Artikel Lain