suria

Rakyat Malaysia antara mangsa culik, bunuh di Afghanistan

KABUL: Kumpulan militan dilaporkan menculik dan membunuh tiga rakyat asing yang bekerja dengan sebuah syarikat makanan antarabangsa di Afghanistan hari ini.

Menurut seorang diplomat dan pegawai keselamatan negara itu, ketiga-tiga mangsa bekerja sebagai tukang masak untuk syarikat penyediaan makanan dan katering kedua terbesar di dunia, Sodexo.

Syarikat terbabit menguruskan kantin dan fasiliti pejabat, tentera, sekolah, hospital dan penjara, mereka turut membekalkan baucar makanan dan hadiah.

"Seorang rakyat India berusia 39 tahun, seorang rakyat Malaysia berusia 64 tahun dan seorang warga Macedonia berusia 37 tahun telah diculik dan dibunuh. Kami sudah menemui mayat mereka," kata jurucakap Ketua Polis Kabul, Hashmat Stanekzai kepada Reuters.

Ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja bersama seorang pemandu tempatan.

Mangsa diculik berhampiran Pul-e-Charkhi di kawasan timur Kabul namun mayat mereka ditemui dalam kereta di wilayah Mussahi di bahagian selatan wilayah Kabul.

"Mereka ditembak mati dan mayat mereka ditemui di dalam kereta," kata Nusrat Rahimi, timbalan jurucakap Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, seorang pegawai keselamatan Afghanistan berkata mereka menjumpai kad pengenalan berhampiran mayat mangsa dan pegawai di Sodexo telah mengesahkan identiti mereka namun tidak mengulas lanjut.

Penculikan menjadi masalah utama di Afghanistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di mana orang asing turut menjadi sasaran kumpulan militan yang menuntut wang tebusan. - Reuters

Afganistan, bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain