suria

Dakwaan gangguan seksual akan disiasat dengan adil

Dr Dzulkefly Ahmad.

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan dengan adil bagi mengesahkan dakwaan gangguan seksual dan buli oleh ketua jabatan ortopedik terhadap pegawai-pegawai wanita di sebuah hospital di Lembah Klang.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad menasihati media agar tidak memperbesarkan isu tersebut dan memberi ruang kepada kementerian untuk menyiasatnya.

"Saya telah mengarahkan siasatan dijalankan, dan kami mahu menjalankan siasatan dengan adil.

"Anda mesti mempercayai kami akan melakukannya dalam semua kerahsiaan untuk melindungi mangsa yang berani untuk tampil dan berkongsi maklumat penting dengan kami.

"Anda mesti faham sekiranya anda ingin mendapatkan semua yang terlibat untuk tampil, anda perlu memberi jaminan bahawa segala-galanya akan dilakukan dengan betul," katanya kepada pemberita pada sidang media di Hospital Queen Elizabeth di sini, Rabu.

Dr Dzulkefly berkata, tidak masuk akal untuk menuding jari dan melemparkan tuduhan pada individu tertentu, apabila keutamaan harus diberikan untuk menjalankan penyiasatan dengan lancar.

Ditanya bagi mengesahkan laporan sebuah portal yang mendakwa Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan arahan supaya pegawai perubatan di hospital terbabit untuk tidak berkongsi maklumat berhubung ketua jabatan berkenaan, beliau berkata: "Tak tahu"

Menurut laporan itu, polisi kementerian menyatakan bahawa pengawai perubatan tidak dibenarkan membuat kenyataan media, kerana mereka tidak diberikan kuasa untuk berbuat demikian.

"Tumpuan kita adalah siasatan, dan kita fikir boleh melakukannya dengan baik tanpa media mendedahkannya (isu ini)," kata Dr Dzulkefly.

Beliau menegaskan bahawa kementerian itu tidak berhasrat untuk menyekat media, tetapi meminta untuk diberi ruang bagi menyiasat kes tersebut.

Artikel Lain