suria

Lagi Adun Umno Sabah keluar parti

Saddi Abdul Rahman. Foto Muguntan Vanar

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-Sukau di Sabah, Datuk Saddi Abdul Rahman mengumumkan beliau keluar dari parti serta-merta bagi menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Saddi berkata, keputusannya keluar dari Umno dilakukan dengan hati yang berat.

Namun beliau percaya bahawa ia merupakan langkah yang tepat dengan mempertimbangkan keadaan politik semasa di negeri itu.

"Saya akan mendai Adun bebas dan akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Adun selama tiga penggal itu berkata, beliau akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana parti yang menuntut hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963, termasuk meningkatkan royaliti minyak di negeri itu.

Saddi berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kerana memberikan peluang kepada beliau berkhidmat sebagai Adun di Sukau sejak 2008.

Saddi merupakan Adun Umno Sabah yang ketujuh keluar dari parti itu sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Umno Sabah memenangi 17 kerusi pada pilihan raya yang lalu.


Saddi Abdul Rahman, Umno

Artikel Lain