Struktur semula Khazanah, kerajaan bukan balas dendam - Semasa | mStar

Struktur semula Khazanah, kerajaan bukan balas dendam

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan pengarah urusan dan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd akan membolehkan kerajaan menstuktur semula syarikat dana nasional tersebut, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menerima tawaran peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah terbabit kerana “langkah ini membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat tersebut” berdasarkan polisi pentadbiran baru.

“Perdana menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru atau memindahkan mereka ke syarikat lain atau pun mengekalkan sesetengah mereka untuk kesinambungan perjalanan syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Dr Mahathir juga menyatakan bahawa kerajaan bukan di dalam proses membalas dendam.

“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salahlaku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan.

“Peletakan jawatan beramai-ramai ini akan memberi ruang untuk menyusun semula Khazanah kerana polisi kami adalah berlainan daripada pentadbiran sebelum ini.

“Kita percaya adalah bagus untuk memberi gaji yang tinggi tetapi kita tidak boleh sentiasa mengikut nilai ukuran pihak swasta. Kita mahu menumpu kepada ganjaran di dalam bentuk bonus yang berlandaskan kepada prestasi kerana ada sesetengah syarikat yang beroperasi pada tahap yang tidak memuaskan.” jelasnya.

Mengenai laporan yang menyatakan RM2 billion telah terhapus dari Bursa Malaysia, Dr Mahathir menekankan bahawa jumlah kerugian atas kertas tersebut tidaklah sebesar bebanan hutang RM1 trillion yang diwarisi dan sekarang terpaksa dihadapi dan ditanggung oleh kerajaan.

Dilaporkan bahawa enam saham utama Khazanah Nasional di Bursa Malaysia semalam merosot, menyebabkan kerugian kira-kira RM2 bilion dalam gabungan nilai pasaran.

“Jumlah hutang RM1 trillion tersebut adalah nyata dan benar dan jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan. Sebahagian besar daripada jumlah ‘pelaburan' yang dilakukan kerajaan terdahulu belum dapat diperoleh semula kerana kita tidak tahu di mana wang tersebut telah pergi,” kata Dr Mahathir.

Pada Khamis, Khazanah Nasional mengesahkan laporan berita bahawa semua ahli lembaga pengarahnya, termasuk pengarah urusan telah menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh dana itu, ia berkata, tindakan tersebut adalah untuk memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah kerajaan baru. - BERNAMA

Khazanah Nasional , Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain