suria

Nik Nazmi sokong Rafizi sebagai Timbalan Presiden

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan sokongan terbuka kepada Rafizi Ramli yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu bulan depan.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga berkata beliau akan bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan kali ini.

Pada masa sama, beliau turut mengulangi sokongan terhadap penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai Presiden PKR.

"Kita perlu melaksanakan agenda Reformasi dan memajukan Malaysia ke hadapan.

"Kita tidak boleh dan tidak harus melemahkan usaha kita dalam mengecapi pentadbiran yang baik, pembangunan ekonomi yang saksama dan masyarakat yang lebih sejahtera," katanya.

Naib Presiden PKR, Rafizi mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Sementara itu, Nik Nazmi turut ingin menjadikan PKR sebagai sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.

"Saya ingin pastikan bahawa ia akan meneruskan dan mengukuhkan agenda Reformasi dgn menggabungkan tenaga, idea-idea baharu dan lama yang menyokong idealisme teras parti.

"Saya tahu bahawa perjalanan yang akan datang bukanlah satu jalan yang mudah tetapi saya komited kepada agenda Reformasi," katanya.


Nik Nazmi, Rafizi Ramli, PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain