suria

Ali arah KSU, Ketua Perkhidmatan awasi sabotaj

Ali Hamsa.

PUTRAJAYA: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua perkhidmatan telah diarah menjalankan siasatan terhadap sebarang kemungkinan sabotaj berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata beliau telah mengarahkan mereka untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan tindakan khianat yang bertujuan menjejaskan pentadbiran dan kerajaan semasa.

"Saya menyeru para penjawat awam untuk melaporkan sebarang perlakuan khianat kepada ketua-ketua setiausaha dan ketua-ketua perkhidmatan masing-masing.

"Saya sendiri akan menangani perkara tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini Jumaat.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan akhbar The Sun Daily bertajuk "Un-civil servants" pada Jumaat mengenai sabotaj oleh penjawat awam senior terhadap pelan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Ali berkata tiada sebarang tolak ansur trhadap sebarang percubaan khianat untuk melemahkan kerajaan semasa dan pentadbirannya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku, tanpa rasa takut atau memihak," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pentadbiran awam akan sentiasa menghormati mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan semasa berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mei lepas.

"Kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik harus didukung," kata Ali. - BERNAMA

KSU, Ali Hamsa, sabotaj

Artikel Sebelum

Artikel Lain