Tarian gelek ‘tak haram kerana niat baik’? Ini jawab Zawawi! - Semasa | mStar

Tarian gelek ‘tak haram kerana niat baik’? Ini jawab Zawawi!

Paparan skrin daripada video tarian gelek yang dianjurkan pada majlis kutipan derma Tabung Harapan di sebuah hotel di Shah Alam pada Rabu malam.

PETALING JAYA: Sebuah video tarian gelek yang memaparkan beberapa penari berpakaian seksi sempena majlis kutipan dana Tabung Harapan tular di media sosial sejak Rabu.

Acara yang dipercayai dianjurkan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Shah Alam itu dikaitkan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Susulan penyebaran video berkenaan, netizen mula mengecam pihak kerajaan yang didakwa mencemari majlis kutipan derma dengan tarian yang mengghairahkan.

Turut terpalit dengan kontroversi tersebut ialah calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa tarian tersebut 'tidak haram kerana niat baik'.

Posting yang dimuat naik oleh Lokman pada Rabu.

Bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam yang menjadi pencabar Mohd Zawawi di Sungai Kandis turut menuntut penjelasan daripada Mohd Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh.

Lokman melalui posting di Instagram berkata: "Agaknya apa pendirian Pakatan Harapan memanggil tarian gelek LGBT untuk mengutip derma bagi Tabung Harapan ya?

"Mampukah seorang Adun Pakatan Harapan menyanggah perdana menteri atau timbalannya?

"Jika tidak, serahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi Barisan Nasional," kata Lokman.

Enggan membiarkan fitnah tersebut berleluasa, Mohd Zawawi menafikan bahawa PH terlibat dalam penganjuran majlis kutipan derma itu, sebaliknya ia dilancarkan oleh pihak ketiga iaitu badan bukan kerajaan (NGO).

"Ada pihak yang cuba memfitnah saya. Saya tidak pernah setuju aktiviti seperti tarian gelek itu diadakan bagi tujuan mengutip derma.

"Saya menolak politik fitnah diamalkan di negara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tambah Mohd Zawawi, beliau berpandangan acara seperti itu tidak wajar dipopularkan kerana ia tidak sihat untuk pembangunan sahsiah dan moral rakyat Malaysia.

Video tersebut yang dimuat naik oleh pelbagai pengendali laman Facebook itu setakat ini ditonton lebih 70,000 kali dan mendapat lebih 2,800 tanda suka.

tarian gelek , Tabung Harapan

Artikel Sebelum

Annuar Musa mohon maaf isu PRK Langkawi

Artikel Berikut

"Saya mewarisi kerajaan dipenuhi rasuah"

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia