suria

“Sebab saya lambat ambil, mereka ‘kantoi’ berdua-duaan”

PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan mengadu tidak mahu ke sekolah kerana malu ditegur guru gara-gara 'kantoi' berdua-duaan dengan seorang pelajar lelaki.

Insiden tersebut berlaku di tangga sebuah bangunan sekolah pada petang Rabu sementara menunggu kakaknya datang untuk menjemputnya pulang ke rumah. 

Kisah itu yang dikongsikan di laman sosial bertukar lucu dan akhirnya tular apabila pelajar perempuan itu sebenarnya duduk bersama pasangan kembarnya.

“Esok aku tak nak pergi sekolahlah Angah. Aku tengah duduk dekat tangga dengan abang kat tingkat atas sekali, pastu cikgu jerit dari bawah, ‘Awak buat apa kat tangga tu? Turun sekarang!’.

“Pastu aku cakap kat abang, weh turun, habis kena tangkap dah. Lepas tu masa kami turun, cikgu tunggu kat tangga dan budak-budak lain tengok siapa yang kena tangkap,” menurut status yang dikongsi oleh seorang lagi kakak pasangan di Instagram menerusi Insta Story pada Rabu.

Kakak kepada remaja berkenaan, Syahirah Shafawiza, 22, berkata, dia menggantikan bapanya untuk menjemput dua adiknya yang merupakan pasangan kembar, Syazwan dan Syazwani, 14, di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf di Batu Gajah, Perak.

Namun dia yang lebih mesra dengan panggilan 'Angah' oleh keluarganya, keluar lewat untuk mengambil dua adik kembarnya itu kerana mahu menjemput seorang lagi adiknya, 11 tahun, di sekolah berasingan selepas itu.

Dia yang merupakan anak kedua daripada enam adik-beradik berkata, disebabkan kelewatannya, dua adiknya bercadang untuk menunggu di tingkat tiga bangunan sekolah selepas tamat sesi persekolah sebelah pagi.

Pelajar Ijazah Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Petronas ini berkata, insiden membabitkan Syazwan dan Syazwani yang lebih mesra dipanggil ‘Abang’ dan ‘Kakak’ itu hanya diceritakan kepada mereka sekeluarga pada Rabu malam.

“Pada mulanya kami semua terkejut, tapi kemudian jadi kelakar dengan cerita mereka sebab ia bukan pertama kali orang tersilap sangka mereka sebagai pasangan kekasih.

“Tapi ayah marah saya sebab lambat ambil mereka kat sekolah. Sebab saya lambat ambillah, kan adik-adik dah kena tegur sebab berdua-duaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Syahirah atau Angah (tengah) bersama dua adik kembarnya, Syazwan (kanan) dan Syazwani.

Bagaimanapun Syahirah memberitahu, tiada yang serius berlaku kerana ia sekadar salah faham guru berkenaan yang tidak mengetahui dua adiknya adalah pasangan kembar.

“Guru tu mungkin baru atau tak kenal adik-adik saya ni sebenarnya kembar. Jadi, dia mungkin ingat Kakak dan Abang tu pasangan kekasih.

“Adik-adik saya ni pun satu, kenapalah tunggu kat tangga di tingkat atas di blok bangunan yang dah tak ada pelajar. Kan cikgu dah salah faham, memanglah dia tegur sebab tak nak ada tanggapan yang bukan-bukan,” katanya mengenai Syazwan yang merupakan abang kepada Syazwani.

Walaupun pasangan tidak seiras, kedua-duanya begitu akrab.

Malah Syahirah turut menjelaskan bahawa selepas ini dia berhasrat untuk tidak lagi lewat menjemput adik-adiknya di sekolah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Sebelum ni memang orang luar selalu salah faham pasal adik-adik kembar saya, cuma ni pertama kali kena tegur sebab berdua-duaan. 

“Mereka ni kembar, jadi memang rapat. Malah, kalau seorang sakit, seorang lagi mesti jatuh sakit lepas tu. Tapi kalau nak tahu, walaupun dua-dua ni minat suka bergambar, tapi mereka tak suka bergambar bersama. Payah!,” katanya secara berseloroh.

kembar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain