suria

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dibuka semula kepada pelancong 1 Ogos

KOTA KINABALU: Pihak pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan membuka semula masjid itu kepada pelancong pada 1 Ogos ini.

Namun, pihak pengurusan tersebut akan mengenakan peraturan yang lebih ketat dan memperkenalkan yuran masuk sebanyak RM5 kepada pelancong.

Pengerusi Masjid Bandaraya Datuk Jamal Sakaran berkata, hanya operator pelancongan yang berlesen dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) dibenarkan membawa masuk pelancong ke masjid berkenaan.

Tambah beliau, pihak operator perlu mendaftar dengan unit pengurusan pelancongan masjid terlebih dahulu.

Pihak operator perlu menghantar permohonan untuk masuk ke dalam masjid seawal tiga hari sebelum lawatan mereka, termasuk menyediakan butiran mengenai kumpulan lawatan itu.

Jamal turut menjelaskan yuran masuk RM5 akan digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan gaji pekerja tambahan mereka.

Pengarah Motac Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, peraturan baharu itu diperkenalkan bagi mengelak insiden tidak diingini daripada berlaku.

Pelancong mula dihalang daripada memasuki masjid tersebut selepas video menunjukkan dua pelancong asing menari secara mengghairahkan di depan masjid itu pada 23 Jun tular.

Pelancong terbabit, Wan Han, 37, dan Zhang Na, 25, dari China, didenda sebanyak RM25 seorang oleh mahkamah majistret pada 27 Jun selepas mengaku bersalah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain