Restoran biak lipas didenda RM3,000 - Semasa | mStar

Restoran biak lipas didenda RM3,000

KUALA LUMPUR: Pengurusan sebuah  restoran didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana gagal memastikan tahap kebersihan restoran itu sehingga menjadi tempat pembiakan lipas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Milenium Jutamas Sdn Bhd yang mengendalikan Restoran Boston Group, selepas  pengarah syarikat  itu Chang Chung Fei, 42, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.  

Mengikut pertuduhan, syarikat itu  gagal memastikan restoran berkenaan di  Viva Home, Jalan Loke Yew di sini bebas daripada makhluk perosak itu.

Mengikut fakta kes, pegawai kesihatan telah melakukan pemeriksaan kebersihan terhadap premis itu pada 12.30 tengahari  21 Jun tahun lepas di bawah Akta Makanan 1983  dan hasil  pemeriksaan  mendapati terdapat lipas seperti yang dilaporkan oleh pelanggan yang pernah berkunjung ke  situ.

Syarikat itu dituduh mengikut Peraturan 11(1)(a) dibaca bersama Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan  2009 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan restoran tersebut telah  menjalankan kerja-kerja pembersihan dan itu kesalahan kali pertama, manakala pegawai  pendakwa dari Pejabat Kesihatan Cheras,  Humaam Ab Rahim, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira kepentingan kesihatan orang awam.  

OKS membayar denda tersebut. - Bernama

restoran , lipas

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Pilu tiga ibu rayu anak pulang