suria

Annuar Musa mohon maaf isu PRK Langkawi

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis secara terbuka memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataannya sebelum ini berkenaan akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Langkawi.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata kenyataannya semasa berkempen pada PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis telah disalah anggap dan menjelaskan beliau tidak merujuk kepada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamed yang berusia 93 tahun.

Katanya, beliau sangat menghormati Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, negarawan dan bekas bosnya dalam Kabinet dahulu.

“Dalam kenyataan saya itu, saya katakan bahawa pilihan raya ini berlaku takdir ilahi, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja mungkin Langkawi, saya sebut Bera, saya juga sebut Ketereh,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Ketika berkempen pada PKR Sungai Kandis baru-baru ini, Annuar dilaporkan menggambarkan pilihan raya itu sebagai ujian daripada Allah SWT dan mungkin akan berlaku di kawasan lain termasuk di Langkawi.

Kenyataan itu kemudian dibidas pelbagai pihak termasuk anak Dr Mahathir sendiri, iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan kenyataan tersebut itu sebagai tidak wajar. - Bernama

Annuar Musa

Artikel Lain