suria

Baju kaedah falak dihasilkan untuk elak sihir

PETALING JAYA: Percaya atau tidak di negara ini ada baju berharga RM313 yang dikatakan mampu merawat penyakit mistik seperti sihir, saka dan santau.

Itulah yang diiklankan di laman Facebook sehingga mengundang perdebatan netizen yang rata-ratanya menganggap ia perbuatan 'menunggang' agama.

Menjelaskan perkara itu, Suhaini Mohammad, 46, selaku pengasas produk itu mengakui tidak berkecil hati dengan kecaman orang ramai dan menganggap mereka tidak memahami kaedah yang digunakan dalam penghasilan baju tersebut.

"Seperti yang dipaparkan dalam iklan, ia dijahit dengan kaedah falaq. Falaq adalah peraturan alam. Setiap waktu ada falaq tersendiri, begitu juga dengan tubuh manusia.

"Orang yang kecam tu tiada pendedahan mengenai ilmu falaq, tapi saya tak marah. Dengan wujudnya produk ini, ia diharap dapat membuka minda mereka untuk mempelajari ilmu ini.

"Selain kecaman, ramai juga yang hubungi saya bertanyakan mengenai produk ini, dengan hati yang terbuka saya jelaskan kepada mereka mengenai ilmu falak agar mereka faham," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Rabu.

Selain Facebook, paparan skrin iklan ini turut ditularkan netizen di laman Twtitter dan Instagram.

Biarpun menerima kecaman bertalu-talu, baju berkenaan sehingga kini sudah terjual lebih 300 helai.

Menurut Suhaini lagi, harga yang ditetapkan agak rendah berbanding rawatan penyakit mistik yang kadang-kala boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Malah, pelanggan tidak akan rugi kerana pihaknya bersedia memulangkan wang sekiranya baju berkenaan tidak memberi kesan kepada mereka.

"Yang paling ketara, biasanya orang yang kena sihir akan muntah bila pakai baju ni. Kalau pergi berubat pun, harga jauh lebih mahal.

"Seperti baca Al-Quran, makhluk halus akan takut. Tapi kita bukan baca 24 jam, jadi kita hasilkan baju ini. Ia boleh dipakai pada waktu tidur, bersenam dan sebagainya.

"Lagipun kita tak paksa mereka beli, kalau tak berkesan kami sedia pulangkan balik wang pelanggan.Tapi setakat ini tiada yang minta pulangkan wang mereka,"ujarnya lagi.

Pengasas, Suhani Mohammad, mempunyai lebih 200 ejen yang memasarkan produknya di seluruh Malaysia.

Selain baju tersebut, Suhaini turut menjual topi yang didakwa berkesan untuk mengatasi masalah stress, migrain, insomnia dan ekzema.

Biarpun dijual pada harga RM1,200, topi yang dinamakan Brain Synchronization Cap itu sudah terjual lebih 100 unit.

"Topi ni untuk mereka yang mampu beli, jadi tidak timbul persoalan mengenai harga.

"Bukan setakat orang biasa, golongan seperti doktor, pensyarah dan peguam pun ada yang beli," jelasnya lagi.

Dia yang berpangkalan di Johor Bahru mempunyai lebih 200 ejen yang mengedarkan produknya ke seluruh Malaysia.

Selain Facebook, terdapat beberapa netizen yang menularkan paparan skrin iklan baju dan topi berkenaan di laman Twitter dan Instagram.

Berdasarkan tinjauan, kebanyakan netizen mempersoalkan keberkesanan produk itu dan mereka turut menyelar harga yang ditetapkan oleh Suhaimi.

"Baik pergi sembahyang, doa banyak-banyak, InsyaAllah ok. Ada juga yang percaya benda begini," tulis Nurulaa Awie.

"Apa ni? Minta perlindungan dari Allah bukan dari baju," tulis Farah Waheeda pula.

Namun, terdapat juga netizen yang mempertahankan penjualan produk itu dan beranggapan ia adalah satu ikhtiar dalam perubatan mistik.

Pengasas, Suhani Mohammad, mempunyai lebih 200 ejen yang memasarkan produknya di seluruh Malaysia.
Pengasas, Suhani Mohammad, mempunyai lebih 200 ejen yang memasarkan produknya di seluruh Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain