suria

Nurul Shamsul peserta ratu cantik suka tidur, tak suka mekap

Nurul Shamsul. -fotoTHESTAR

PETALING JAYA: Rupa paras bukanlah ukuran utama, namun kebijaksanaan minda dan personaliti yang menarik menjadikan dia lebih istimewa.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai finalis Miss Universe New Zealand (Ratu Cantik NZ) 2018, Nurul Shamsul yang mengakui dirinya seorang yang sangat ringkas dan tidak gemar mengenakan solekan tebal.

Walaupun menjadi peserta pertandingan ratu cantik, bagi Nurul, 20, cukuplah dia sekadar membawa lipstik dalam tas tangan setiap kali keluar dari rumah.

"Saya tak rasa seperti diri sendiri jika memakai mekap tebal. Bagi saya 'less is more'. Saya pula seorang yang sentiasa nak cepat, solekan ringkas sudah memadai.

"Saya tak suka bersolek, sampai ada ketikanya emak pula yang perlu ingatkan saya supaya jangan lupa bawa lipstik atau bedak setiap kali mahu keluar," kata Nurul dalam satu temuramah bersama mStar Online, Rabu.

Nurul berkata, dia mahu memberi inspirasi kepada gadis-gadis di luar sana agar sentiasa yakin dengan kecantikan dalaman dan tidak bergantung kepada solekan semata-mata.

Selain solekan ringkas, gadis kelahiran Ampang ini turut mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan buah-buahan, sayur, air masak secukupnya dan senaman ringkas.

Rancak bercerita mengenai dirinya, Nurul turut menggambarkan dirinya sebagai seekor panda kerana hobinya yang suka tidur hampir sepanjang masa.

Tabiat itu turut diakui ibunya, Ohan Anie Ediy, 43, yang hadir menemani Nurul dalam sesi temuramah itu.

"Dia memang suka tidur, sebab itu dia digelar 'sleeping beauty' oleh ayahnya.

"Selain tidur, Nurul sangat suka membaca. Dari kecil dia tidak suka permainan. Kalau keluar, dia lebih suka pergi ke kedai buku dan kedai alat tulis," dedah ibunya lagi.

Bercerita lanjut mengenai anak sulungnya itu, Ohan berkata, Nurul juga seorang yang suka memasak.

Tambahnya lagi, Nurul ada menghadiri kelas membuat kek dan boleh memasak hidangan seperti nasi lemak, nasi ayam dan banyak lagi.

Penuntut di Universiti Waikato, New Zealand dalam bidang psikologi dengan pengkhususan dalam dasar sosial itu mula menjadi sebutan apabila dia terpilih sebagai anak Malaysia pertama yang berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 20 Miss Universe New Zealand 2018.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, Nurul merupakan satu-satunya peserta berhijab dari Malaysia yang berentap dalam pertandingan itu yang akan diadakan pada 4 Ogos depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain