suria

Wanita mabuk rempuh empat lelaki hingga maut dihadap ke mahkamah

Olivia Chong Oi Yun (tengah) dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau pada Khamis, bagi pertuduhan mengakibatkan kematian empat lelaki dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan maut pada Ahad lepas. Foto Bernama

TAWAU: Seorang wanita pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau bagi pertuduhan mengakibatkan kematian empat lelaki dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan maut pada Ahad lepas.

Tertuduh, Olivia Chong Oi Yun, 34, dituduh melakukan kesalahan itu pada kira-kira 1.20 pagi 8 Julai 2018 di Jalan Chong Thien Vun hadapan Pusat Komersil BDC (1 Arena) ketika memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol yang banyak dalam badan sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah.

Kesemua yang maut ialah Hiew Nyuk Wei, 30, Clawence Wong Vui Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16 dan Chung Vui Chan, 21, manakala yang cedera parah ialah Ching Guan Xiong, 21.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia lengkap tertuduh serta kesemua mangsa.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan itu tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas faktor keselamatan.

Namun atas budi bicara, mahkamah telah menawarkan jaminan RM4,000 beserta dua penjamin, lesen digantung sehingga kes selesai, pasport ditahan dan tertuduh perlu melapor diri setiap dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Sebelum ini, dilaporkan seorang wanita yang memandu sebuah kereta Vios telah merempuh mati empat lelaki dan seorang lagi cedera parah yang sedang melepak di parkir Pusat Komersil BDC (1 Arena), Jalan Chong Thien Vun.

Dalam kejadian itu, pemandu yang mabuk itu turut merempuh sebuah van jenis Toyota Hiace sehingga terbalik serta dua kereta masing-masing jenis Perodua Bezza dan Myvi. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain