suria

Bekas pegawai khas Najib direman

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak direman empat hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi pada Khamis mengesahkan mengenai penahanan reman individu berusia 44 tahun itu.

“Dia ditahan pada Isnin lalu selepas dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menggelapkan wang diterima dari sebuah syarikat yang dianugerahkan untuk memasang panel solar di sekolah di Sarawak,” katanya.

Difahamkan perintah reman empat hari sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas dipohon SPRM.

Memetik laporan sebuah portal dalam talian pada Khamis, berdasarkan maklumat sumber SPRM, bekas pegawai khas itu didakwa meminta wang daripada sebuah syarikat berpangkalan di Bintulu.

“Kami difahamkan dia meminta wang dengan jumlah yang besar,” katanya namun tidak mendedahkan jumlah berkenaan yang dipercayai bernilai jutaan ringgit.

Sebelum ini Sarawak Report, mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak terbabit ditukarkan, manakala laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia langsung tidak dihiraukan. - Sinar Harian

Simi Abdul Ghani, SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain