suria

'Open house' tak jadi, kesian anak tercongok depan pintu

PETALING JAYA: Keterujaan seorang remaja yang mahu menyambut kedatangan rakan-rakan untuk berhari raya di rumah keluarganya tidak kesampaian, apabila mereka tidak muncul seperti yang dijanjikan.

Ia diluahkan oleh kakak kepada remaja berkenaan yang kesal dengan tindakan rakan adiknya itu, terutama selepas ibu mereka telah pun membuat persiapan awal dengan memasak hidangan untuk tetamu.

“Kawan-kawan adik saya janji nak datang beraya di rumah, tapi akhirnya mereka langsung tak datang tanpa khabar berita. 

“Makanan dah siap, adik saya dah teruja dah. Kesian dia. Ni lah sebabnya dia tak suka berkawan,” katanya dengan nada kesal di laman sosial Instagram menerusi Insta Story sehingga menjadi tular.

Ibu kepada remaja berkenaan mengakui anaknya, Mohd Amar Haziq Rizal Effendi, 14, amat teruja apabila rakan-rakannya mahu datang beraya ke rumah mereka di Klang pada Jumaat lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Siti, 44, katanya, dia dimaklumkan oleh Mohd Amar atau lebih mesra dipanggil Haziq bahawa kunjungan beraya itu pada awalnya dijadualkan pada Selasa tetapi ditunda ke Jumaat.

“Haziq tu sebenarnya tak ramai kawan, dia ni pemalu orangnya. Dia tak memilih kawan, tapi hanya berkawan dengan mereka yang ‘sekepala’ dengan dia.

“Bila kawan dia nak datang beraya dan ajak rakan-rakan lain, dah tentu Haziq gembira dan teruja. Patut Selasa, tapi mungkin cakap-cakap saja, kemudian mereka janji untuk datang pada Jumaat.

“Banyak kali dan setiap hari jugalah Haziq mengingatkan saya pasal kawan-kawan dia nak datang beraya. Bila orang nak datang, saya masaklah apa yang patut. Tak kan nak bagi mereka makan kuih raya saja,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Haziq (dua, kiri) bersama adiknya makan selepas menunggu rakan-rakan yang sepatutnya datang ke rumah untuk beraya.

Menurut suri rumah itu, seorang rakan anaknya berjanji untuk datang bersama rakan-rakan lain sekitar pukul 8.30 malam Jumaat lalu.

Siti memberitahu, rakan-rakan Haziq tidak muncul pada waktu yang dijanjikan, membuatkan anak kedua daripada tiga beradik itu cuba menghubungi rakannya.

“Anak saya dah telefon, mesej, tapi tak dapat. Langsung tak ada khabar berita. Tapi Haziq tetap tunggu kawan dia sebab dah janji nak datang.

“Sampaikan dia lama tercongok kat depan pintu rumah. Bila saya tanya: "Haziq, mana kawan-kawan tak sampai lagi ni?" 

Dia cuma jawab: "Tak tahulah ibu".

Walaupun ketika itu tidak sihat dalam keadaan sedang sarat mengandung enam bulan, Siti masih sedia memasak untuk menjamu rakan-rakan anaknya.

“Banyak yang saya masak, ada bihun, cendawan tepung dan bubur kacang, untuk kira-kira 10 orang makan. Saya tak tahu berapa ramai kawan dia, tapi Hafiz kata ramai juga nak datang.

“Dari pukul 8.30 malam sampai hampir tengah malam Haziq menunggu. Sampai esoknya masih senyap tak ada khabar berita,” katanya sambil menambah bahawa hidangan yang dimasak itu diberikan kepada jiran-jiran bagi mengelakkan pembaziran.

Antara luahan kakak Haziq susulan pengalaman adiknya.

Bagaimanapun, Siti berkata, dia tidak terkilan dengan tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan anaknya kerana mungkin ada sebab mereka tidak dapat hadir beraya.

“Saya lebih kesiankan anak saya, Haziq. Ikutkan malam tu patut jadi kunjungan pertama rakan-rakannya untuk datang beraya tahun ini. Dia tak ramai kawan, bila ada kawan nak datang, dia teruja tapi jadi macam ni pula.

“Biasalah budak-budak, buat rancangan untuk beraya. Kalau janji nak datang... datanglah, jangan main-main. Kalau ada sebab tak dapat datang, tak apa. Tapi sekurang-kurangnya beritahu awal, jangan buat orang tertunggu-tunggu,” katanya sambil memaafkan tindakan rakan-rakan anaknya itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain