suria

SPRM siasat kes seleweng dana SKMM RM25 juta

PETALING JAYA: Penyelewengan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melibatkan kira-kira RM25 juta bagi projek 1Malaysia Negaraku yang gagal dilaksanakan kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang pegawai kanan Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas) berpangkat Datuk dipercayai terlibat dalam penyelewengan itu.

Sumber rapat dengan SPRM berkata, kes itu melibatkan kira-kira 10 projek yang kebanyakannya diperolehi oleh lelaki berkenaan.

Menurut sumber itu, pihaknya juga percaya lelaki itu mengarahkan seorang bekas menteri untuk menguruskan pulangan dan pembayaran kepada Finas bagi projek berkenaan.

Siasatan juga mendapati, pegawai tersebut mempunyai kuasa untuk mengesahkan surat tawaran kepada syarikat yang dilantik atas arahan bekas menteri terlibat.

Dia juga didakwa meluluskan pembayaran projek walaupun ia tidak dilaksanakan.

"Menteri terlibat pada waktu itu turut mengarahkan pegawai kanan untuk menggunakan RM25 juta untuk projek-projek tersebut.

"SPRM telah ke syarikat terlibat dan meminta mereka menyerahkan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut," ujar sumber itu yang mendakwa terdapat lebih 70 individu dikenal pasti terlibat dalam kes berkenaan.

Agensi anti rasuah itu turut merekodkan kenyataan empat individu termasuk Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan pegawai SKMM pada Selasa. 

SKMM, SPRM

Artikel Sebelum

Najib Razak ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain