suria

Umno rayu kepada SPRM untuk guna wang akaun dibekukan

BAGAN DATUK: Umno telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar sebahagian daripada akaun parti yang dibekukan dapat diguna untuk tujuan pentadbiran dan pembayaran gaji.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata permohonan itu telah dikemukakan  kepada SPRM pada Jumaat oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan peguam yang dilantik.

Menurutnya tindakan berkenaan harus dilakukan bagi membolehkan perbelanjaan yang telah ditentukan dapat dibayar setiap bulan.

“Kita harap SPRM memberikan pertimbangan sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbiran lain dapat terus diberikan pertimbangan kerana ia bukan digunakan untuk lain-lain tujuan,” kata Anggota Parlimen Bagan Datuk itu kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, laporan media menyebut SPRM  didakwa sudah membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk akaun milik Umno.

Sementara itu, di Alor Star, perkara yang sama diluahkan Pengerusi  Badan Perhubungan Umno negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya SPRM membenarkan pengeluaran sebahagian wang daripada akaun Umno negeri untuk tujuan pembayaran  gaji.

Menurutnya,  tindakan  membekukan akaun Umno pusat dan negeri Kedah yang turut melibatkan akaun di 15 peringkat bahagian negeri menyebabkan parti itu tidak mempunyai sumber kewangan bagi tujuan perbelanjaan.

"Kalau beku, mana kita nak ambil duit untuk bayar gaji bulanan pekerja yang bekerja dengan pejabat Umno dan bila tiada duit kita terpaksa buang pekerja. Jadi, kita minta supaya SPRM benarkan Umno untuk keluarkan sebahagian wang yang ada dalam akaun,” katanya.

Pengerusi  Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Umno perlu mencari jalan penyelesaian terutama melibatkan aspek kewangan selepas akaun parti dibekukan.

Bekas menteri besar Perak itu berkata ini kerana, pembekuan akaun tersebut dilihat mampu merencatkan pergerakan parti termasuk untuk mengadakan mesyuarat yang memerlukan wang. - Bernama

Umno, SPRM, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Noh Omar lepas jawatan

Artikel Lain