suria

Padah minat basikal antik sehingga sebabkan kematian warga emas

TAIPING: Gara-gara meminati basikal antik kepunyaan seorang  wanita warga emas, seorang lelaki di tahan polis kerana menyebabkan kematian warga emas itu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata suspek  lelaki berumur 34 tahun ditahan di Klinik Kesihatan Tupai di sini  pada 10 pagi Sabtu.

Beliau berkata dalam kejadian 5 petang Selasa lalu, suspek menarik basikal antik dinaiki seorang wanita warga emas berumur 72 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumah sehingga menyebabkan mangsa terjatuh di Jalan Walker, Pokok Assam di sini.

Mohamad berkata mangsa  dimasukkan ke Hospital Taiping dan meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi Rabu lalu.

Katanya hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan basikal yang dicuri itu  kini berada di rumahnya di sini.

"Suspek mengaku berminat dengan basikal antik mangsa dan dia tidak menyangka  tindakannya itu  menyebabkan kematian mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata kes  disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama


basikal antik

Artikel Lain