suria

Lelaki kahwin kanak-kanak 11 tahun turut dedah mereka bercinta sejak 4 tahun lalu

Gambar lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan budak bawah umur tular di Facebook. - Facebook Effa Zulkifle

PETALING JAYA: Lelaki berusia 41 tahun yang dikecam kerana bernikah dengan budak perempuan 11 tahun tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Che Abdul Karim Che Hamid, 41, ketika dihubungi mStar Online mengaku telah bernikah dengan kanak-kanak perempuan yang berasal dari Pattani, Thailand itu baru-baru ini.

Peraih getah yang berasal dari Gua Musang itu berkata mereka bernikah di Thailand atas dasar suka sama suka.

"Ya, memang benar saya sudah berkahwin dengan isteri ketiga. Kami suka sama suka. Kami sudah bercinta sejak empat tahun lalu," katanya, Sabtu.

Mengulas mengenai kisah percintaan mereka, Che Abdul Karim berkata dia mengenali isteri ketiganya itu, semasa kanak-kanak itu menemani ibunya bekerja di kedai makan milik isteri pertamanya.

"Saya kenal isteri ketiga semasa dia bersama ibunya bekerja di kedai isteri pertama tapi itu kisah tiga tahun lalu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Suami saya kata itu gambar edit" - Isteri lelaki kahwin budak 11 tahun

Ditanya mengenai ramai pihak mengecam perbuatannya memperisterikan seorang yang masih berstatus kanak-kanak, Che Abdul Karim berkata isteri ketiganya itu akan tinggal bersama kedua ibu bapanya di Pattani sehingga usianya mencapai 16 tahun.

"Kami buat perjanjian di hadapan imam kami nikah secara gantung dulu. Kami tidak akan tinggal bersama.

"Buat masa ini isteri akan duduk bersama jagaan ibu bapa sehingga berusia 16 tahun. Cukup usia tersebut baharulah kami akan buat pengesahan nikah dengan Majlis Agama Thailand dan Malaysia," katanya.

Bapa kepada enam cahaya mata hasil perkahwinannya dengan dua isterinya sebelum ini bagaimanapun tidak menganggap perbuatan tersebut salah kerana dia bernikah dengan budak perempuan itu dengan kebenaran kedua ibu bapanya.

"Saya bernikah selepas dapat kebenaran ibu bapa isteri saya. Lagipun mereka setuju dan hadir bersama semasa proses akad nikah dilakukan di depan kadi," katanya.

Malah dakwa Che Abdul Karim, dia telah mendapat kebenaran daripada isteri pertama, Noraini Che Nawi untuk memperisterikan budak perempuan itu.

"Isteri pertama tahu mengenai perkara ini dan dia setuju. Tapi isteri kedua tak benarkan sebab itu saya kahwin senyap-senyap," dakwanya.

Posting mengenai perkahwinan Che Abdul Karim dan Mas yang dimuat naik isteri keduanya dan tular.

Mengenai soal isteri keduanya yang mahu menuntut cerai, Che Abdul Karim berkata dia belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya tak fikir lagi. Lagipun saya sudah menjalankan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah. Saya sudah beri segalanya kepada isteri-isteri saya.

"Baru-baru ini saya ada beri isteri kedua duit raya RM700. Saya juga belikan rumah secara tunai dan bayarkan kereta dan juga tanggung kos baiki kereta," katanya.

Sebelum ini, netizen digemparkan dengan berita pernikahan seorang budak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki yang 30 tahun lebih muda daripadanya.

Perkahwinan yang berlangsung di Selatan Thailand itu tular selepas isteri kedua Che Abdul Karim, Siti Nor Azila Zulkifle, 34, memuat naik beberapa status dan gambar di Facebook miliknya yang mendedahkan tentang perkahwinan tersebut.

Berdasarkan status dimuat naik, Siti Nor Azila atau lebih mesra disapa Effa turut mengucapkan tahniah kepada suaminya itu selain menyindir lelaki tersebut yang sanggup berkahwin lain sedangkan dia dan empat anaknya dipinggirkan.

Status Effa menjadi tular sejak Jumaat malam sehingga menjadi bualan ramai di Facebook dan ada netizen mengecam perbuatan suaminya berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur.

kahwin, budak, Thailand

Artikel Lain