suria

Musa Aman ada di UK, nafi larikan diri

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang ‘ghaib’ memaklumkan kini beliau berada di United Kingdom dan tidak melarikan diri daripada tindakan undang-undang.

Musa dalam satu kenyataan media berkata, kini beliau berada di United Kingdom atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus meanfikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Laporan dan kenyataan mutakhir ini menuduh saya meninggalkan Malaysia secara haram dan masuk ke United Kingdom dengan cara tidak sah.

“Kini saya telah jadi buruan dan secara tidak sengaja telah mengheret saya kepada penyiasatan terhadap peristiwa Istana Negeri pada malam 10 Mei lalu,” katanya.

Musa percaya kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan bertujuan memalukannya dan bermotif politik.

Katanya, beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei.

Susulan pemergian beliau itu, Musa telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas penyingkirannya tanpa bersandarkan berperlembagaan sebagai ketua menteri.

“Dia (TYT) tidak wajar meminta saya meletak jawatan dalam masa 48 jam, malah enggan menandatangani instrumen pelantikan, dan juga melantik Shafie Apdal sebagai ketua menteri ketika saya masih dalam jawatan.

“Perkara-perkara ini kini menjadi subjudis sebelum Mahkamah Tinggi mengambil tindakan susulan saman saya,” katanya.

Mengenai laporan intimidasi jenayah, Musa berkata bahawa beliau bersedia membantu polis dan memaklumkan telah berkomunikasi dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengenai perkara itu.

“Saya telah mengarahkan peguam di Malaysia dan London bahawa apa-apa soalan atau permintaan untuk maklumat lanjut hanya akan dimaklumkan kepada mereka,” katanya.

Musa Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain