suria

Sah Fuziah, Shamsul ditawar jawatan dalam Kabinet

KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengesahkan mereka menerima panggilan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan jawatan dalam Kabinet.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata beliau dihubungi Dr Mahathir pada minggu lalu bagi memaklumkan tawaran jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya menerima panggilan daripada Perdana Menteri yang menawarkan jawatan berkaitan agama.

"Saya pada mulanya berpendapat saya tidak sesuai untuk jawatan itu tetapi menerimanya selepas berunding dengan presiden parti yang mengatakan saya harus menerimanya," kata Fuziah ketika ditemui selepas taklimat bagi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ditanya mengenai kesahihah senarai penuh Kabinet yang tular di media sosial, naib presiden PKR itu berkata ia mungkin senarai yang telah dihantar untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, minggu lalu.

"Pelantikan itu akan memberi peluang kepada saya untuk memperkasakan wanita dalam perspektif Islam," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau menerima panggilan dari Dr Mahathir pada Syawal keempat yang menawarkannya jawatan Timbalan Menteri Industri Utama.

"Saya ditawarkan jawatan timbalan menteri di Kementerian Industri Utama," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain