suria

Majikan Rayani Air perlu langsai ‘hutang’ ikut prosedur - Nufam

Ravi Alagendrran.

PETALING JAYA: Rayani Air digesa memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Mahkamah Perusahaan sekiranya terdapat bayaran tunggakan gaji yang dibuat kepada bekas pekerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menyepi, tiba-tiba Rayani Air buat kejutan ‘raya’

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) dalam kenyataan pada Isnin menyifatkan syarikat penerbangan itu cuba mengelak daripada tindakan undang-undang dengan membuat bayaran tetapi ia hanya mengelirukan bekas pekerja tanpa surat rasmi berhubung bayaran tunggakan.

“Semua bayaran hutang gaji harus dibuat secara bertulis kepada (bekas) pekerja. Jangan pakai masuk amaun dan duit sedangkan pekerja pun tidak tahu berapa bayaran tersebut yang sebenar.

“Dengan membuat kenyataan melalui akaun Facebook milik Ravi atau media tidak mencukupi untuk menyelesaikan krisis pekerja Rayani Air,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lalu, mStar Online melaporkan ratusan bekas kakitangan Rayani Air dikejutkan dengan 'duit raya' yang diterima daripada syarikat penerbangan itu selepas ia 'berkubur' sejak dua tahun lalu. 

Selain gaji, menurut Nufam, terdapat bekas pekerja Rayani yang masih menunggu bayaran tunggakan gaji termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nufam dalam kenyataannya turut mempersoalkan keengganan pihak Rayani Air memberi kerjasama dengan kesatuan itu terutama berkaitan hal perundangan.

Ia juga mengesa JTK menghubungi majikan Rayani Air untuk mendapatkan penjelasan sepenuhnya berikutan masalah dan aduan pekerja syarikat penerbangan itu direkodkan oleh jabatan berkenaan.

Pengumuman mengenai bayaran tunggakan gaji bekas pekerja Rayani Air.

Tindakan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dipuji sekiranya benar-benar mahu menyelesaikan masalah pekerjanya, namun Nufam menyarankan ia dilakukan mengikut prosedur, secara telus dan profesional.

“Sebaiknya semua pekerja yang telah diberhentikan dan hutang gaji mereka yang belum dilangsaikan harus menerima surat bayaran daripada Rayani Air dan pekerja juga harus mengesahkan bayaran sudah dibuat secara bertulis. 

“Kami risau ada yang tidak dapat gaji dan hanya segelintir yang tahu mengenai maklumat bayaran tersebut. Jadi semua ini mesti dilakukan dengan lebih terperinci.

“Mungkin bayaran tidak mengikut rekod yang ada pada syarikat dan pekerja. Perbezaan ini akan menimbulkan konflik lagi,” tegas Nufam. 

Ravi yang merupakan pemilik Rayani Air sebelum lesen penerbangannya dibatalkan berkata, bayaran tunggakan gaji dibuat kepada 303 kakitangan bagi Mac 2016 sehingga 10 April 2016 kerana Rayani Air menghentikan operasi pada 8 April 2016. 

Bayaran yang dibuat kepada kira-kira 303 bekas kakitangan di mana sebahagiannya merupakan pemegang akaun Public Bank yang aktif, hanya melibatkan gaji pokok.

Rayani Air yang menggelarkannya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia memulakan operasi pada Disember 2015.

Pada Jun 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhadap pentadbiran dan audit syarikat, selain didapati melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan lemah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amirudin ganti Azmin?

Artikel Lain