suria

Amirudin ganti Azmin?

Amirudin Shari. Foto S.S.KANESAN

SHAH ALAM:Gambar dimuat naik isteri kepada Adun Sungai Tua, Amirudin Shari di akaun Facebook miliknya dipercayai pada hari raya pertama memberi bayangan seolah-olah Exco Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu akan menjadi pengganti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi hantaran di laman sosial itu, Masdiana Muhamad berkata, beliau bersama suami memenuhi jemputan sarapan pagi Setiausaha Kerajaan Negeri di Hotel Concorde selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri sebelum ke Istana Kayangan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri, memenuhi jemputan sarapan pagi Dato Setiausaha Kerajaan Negeri di Hotel Concorde. Kemudian ke Istana Kayangan menghadap DYMM Sultan Selangor. Dah sampai baru perasan belum ada gambar berdua. Itu je nak bagi tahu,” tulisnya yang menimbulkan teka-teki sama ada Amirudin dipilih sebagai pengganti Mohamed Azmin selaku Menteri Besar Selangor yang baharu.

Gambar yang dimuat naik isteri Amirudin.

Tanda tanya siapakah yang bakal menggantikan kerusi panas nombor satu di Selangor itu masih belum terjawab apabila Mohamed Azmin yang ditemui media selepas menghadap Sultan Selangor tengah hari tadi masih berahsia mengenai penggantinya itu.

Menurutnya, satu nama telah dipilih bagi menyandang jawatan tersebut.

“Calon merupakan nama yang dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor.

“Pagi tadi saya telah menghadap Sultan Selangor untuk menyembah maklum nama pengganti saya selaku menteri besar baharu dan baginda berkenan untuk menjalankan majlis istiadat angkat sumpah jawatan esok,” katanya dalam ucapan terakhirnya di Bangunan SUK, petang Isnin.

Sinar Harian turut melaporkan bahawa Amirudin keluar dari Istana Alam Shah di sini kira-kira pukul 6.30 petang.

Beliau menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sempat melambai kepada media yang menunggu di luar istana.

Selepas lima minit Setiusaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pula menyusul.

Menurut sumber istana, tiada sebarang raptai diadakan melainkan hanya persiapan Majlis Angkat Sumpah dan lantikan menteri besar yang baharu dilakukan.

Mohamed Azmin melepaskan jawatan beliau sebagai menteri besar selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. - Sinar Harian

Amirudin Shari, Azmin Ali

Artikel Lain