suria

Azmin sebak

Azmin tidak dapat menahan sebak ketika mengaminkan doa pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada Isnin. Foto Bernama

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelihatan sebak sewaktu menyampaikan ucapan ketika majlis terakhir beliau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Isnin.

Menerusi ucapannya, Mohamed Azmin berkata, pertemuan bersama penjawat awam kerajaan negeri itu merupakan satu detik yang sukar untuk beliau lalui sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor.

"Sebentar tadi saya telah mengetip kad perakam untuk kali terakhir di bangunan ini dan dengan itu sudah sampai masanya saya tinggalkan semua di sini," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Mohamed Azmin melepaskan jawatan beliau sebagai menteri besar selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat kerajaan Persekutuan.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin turut mengesahkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah berkenan untuk menjalankan istiadat angkat sumpah jawatan dan lantikan menteri besar baharu pada jam 9.30 pagi Selasa di Istana Alam Shah, Klang.

"Pagi tadi saya telah mengadap Sultan Selangor untuk menyembah maklum nama pengganti saya selaku menteri besar baharu dan baginda berkenan untuk menjalankan majlis istiadat angkat sumpah jawatan esok," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut meluahkan keyakinan terhadap ketokohan pengganti beliau yang bakal memegang jawatan nombor satu di negeri itu.

Katanya, beliau percaya, penggantinya itu akan meneruskan kesinambungan pentadbiran serta mengekalkan dasar peduli rakyat di negeri ini.

"Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama selama empat tahun saya memegang jawatan ini," katanya. - Sinar Harian

Azmin Ali

Artikel Lain