suria

Senarai muktamad pencalonan Umno dijangka umum Rabu

KUALA LUMPUR: Pengumuman senarai calon yang dimuktamadkan untuk pemilihan Umno akan datang, ditangguhkan.

Ketua Setiausaha Bahagian Umno, Datuk Azwan Aziz berkata, senarai itu dijangka dikeluarkan pada Rabu kerana lebih banyak masa diperlukan untuk membuat semakan terhadap calon-calon di Jabatan Insolvensi.

"Ini bukan senarai yang muktamad. Anda perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga Rabu.

"Kita perlu menilai status kredit calon-calon kerana di bawah seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966 melarang individu yang diisytiharkan muflis memegang sebarang jawatan dalam parti," kata Azwan di ibu pejabat parti pada Isnin.

Pada Ahad, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, senarai akhir calon-calon yang layak bertanding bagi semua  jawatan yang dipertandingkan  dalam pemilihan parti 30 Jun ini akan diumumkan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada petang Isnin.

Beliau turut mengesahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin antara tujuh nama untuk pencalonan jawatan Presiden tetapi enggan mendedahkan nama empat individu lain.

Sebanyak 612 kertas pencalonan telah dihantar untuk semua jawatan, dengan jawatan naib presiden menerima sembilan pencalonan sementara timbalan presiden dengan tiga pencalonan.

Jawatan bagi Ketua Pemuda menerima sembilan pencalonan manakala Ketua Wanita dan Puteri, masing-masing empat pencalonan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, mereka yang menghantar borang pencalonan adalah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Mohd Afnalizam Mohd Salim dari Umno Pekan.

Bagi jawatan Naib Presiden, mereka adalah Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Ahmad Said, Mohd Umno Damansara Shukry Roslan dan ahli jawatankuasa Umno Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad.

Bagi jawatan Ketua Pemuda Umno, selain Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang lain termasuk Mohamad Shahar Abdullah, Khairul Azwan Harun, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Wan Agyl Wan Hassan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Mohd Noor Izzat dan Noor Azleen Ambros.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tidak akan mempertahankan jawatannya, sekali gus membuka laluan kepada empat individu, termasuk Datuk Azizah Mohd Dun, bekas Ketua Wanita, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan bekas Ketua Puteri, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagi jawatan Ketua Puteri, empat individu telah mengemukakan nama mereka termasuk naib ketua sayap itu, Zahida Zarik Khan.

Umno

Artikel Sebelum

Azmin sebak

Artikel Lain