suria

Shamsul Anuar tawar diri tanding MT Umno

LENGGONG: Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menawarkan diri bertanding sekali lagi dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu selepas melihat keadaan politik negara sekarang di mana pemikiran dan citarasa rakyat mengubah landskap politik negara.

Justeru, beliau mahu menyumbang tenaga membantu Umno menyesuaikan diri dengan perubahan dalam negara sekali gus membantu parti itu untuk terus bangkit selepas ini.

“Untuk bangkit, Umno mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan. Paling utama, kepimpinan dan ahli Umno di semua peringkat mestilah bersatu.

“Umno mesti berubah baik dari segi imej serta semangat demi agama, bangsa dan negara. Malah, Umno juga perku menjadi parti membela kepentingan orang Melayu, Bumiputera dan rakyat.

“Saya melihat semua perkara ini dengan penuh tanggungjawab. Justeru, saya menawarkan diri sekali lagi bertanding dan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Tambah Shamsul Anuar, beliau percaya pengalamannya mengemudi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum) mampu membantunya memberikan khidmat terbaik kepada parti.

“Selepas PRU13, perdana menteri mengamanahkan saya tugas sebagai Pengerusi PTPTN.

Daripada perbadanan yang diselubungi isu dipolitikkan, saya berjaya mengurangkannya.

“Malah, imej PTPTN juga berjaya diubah daripada hanya dilihat sebagai pemberi pinjaman kepada pembiaya pendidikan utama untuk pelajar dalam negara kita.

“Pelbagai pendekatan baru dilaksanakan hinggakan pernah mendapat kutipan balik mencecah RM 4.7 bilion meskipun PTPTN pernah berdepan situasi sukar pada 2013,” ujarnya.

Berdasarkan penglibatannya dalam Bikum, Shamsul Anuar dilihat aktif membantu masyarakat terutamanya kepada mangsa bencana malah turut membantu rakyat Malaysia yang hadapi masalah di luar negara.

“Saya dengan rendah diri memohon bantuan dan sokongan semua semoga perjuangan kita diberkati dan beroleh kejayaan,” katanya.

Dalam pemilihan parti sebelum ini, Naib Ketua Bahagian Umno Lenggong itu menang jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno di kedudukan ke-21 daripada 25 calon yang menang. - Sinar Online

MT Umno, Shamsul Anuar Nasarah

Artikel Berikut

Artikel Lain