suria

'Kita tak boleh ekstradisi Jho Low' - PM

Dr Mahathir berbincang bersama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Perdana Putra pada Jumaat. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Mereka tahu di mana dia berada. Namun mereka tidak dapat menahannya.

Inilah masalah yang dihadapi pihak berkuasa dalam membawa pulang individu paling dikehendaki di Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Jho Low ada individu terpenting dan utama bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Jho Low berada di negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

"Kami cuba menangkap Jho Low tetapi dia tidak berada di negara ini. Dan kita tidak mempunyai hak ekstradisi di negara dia berada ketika ini," kata Dr Mahathir.

Pakar undang-undang berkata walaupun tidak mustahil untuk membawa Jho Low pulang ke negara ini meskipun tidak ada perjanjian ekstradisi dengan negara ahli perniagaan itu berada, proses itu amat panjang dan membosankan.

Jho Low dikenal pasti sebagai dalang utama skandal 1MDB yang sedang disiasat pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Hutang terkumpul 1MDB melebihi RM35 bilion dalam bon ringgit dan juga dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh kurang lima tahun sejak 2009.

Kebanyakan wang disimpan di luar negara dan kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan semula wang tersebut.

Selain Jho Low, pegawai utama di syarikat berkaitan 1MDB turut dalam senarai individu dikehendaki.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa memindahkan RM42 juta ke akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata tiada alasan untuk Jho Low dan Nik Faisal tidak hadir membantu siasatan kes berkaitan SRC International.

"Saya tidak mahu mengulas tentang tindakan apa yang akan dikenakan terhadap kedua-dua mereka (Jho Low dan Nik Faisal sekiranya tidak hadir), apa yang saya tahu mereka mesti hadir tanpa memberi sebarang alasan.

"Oleh itu, SPRM menggesa mereka untuk hadir membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Nik Faisal mempunyai alamat terakhir di No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Jho Low pula mempunyai alamat terakhir di 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Jho Low, Nik Faisal, SPRM, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain