suria

Abd Aziz kini pengerusi eksekutif baharu Utusan Melayu

Abd Aziz Sheikh Fadzir.

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd melantik Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusi Eksekutif yang baharu, berkuat kuasa pada Khamis.

Abd Aziz ketika ini ialah Pengarah di Gold Bridge Engineering and Construction Bhd serta Pengerusi Eksekutif Kretam Holdings Bhd, menurut syarikat penerbitan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dari Indiana University, Amerika Syarikat itu merupakan ahli politik dari Umno selain bekas anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Sebelum ini dilaporkan, Utusan Melayu pada 15 Mei mengumumkan peletakan jawatan secara sukarela oleh para pengarahnya serta bekas pengerusi – Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Tiga pengarah itu ialah Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Mohd Yusof Abu Othman.

Untuk rekod, Utusan Melayu, yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo, mengalami masalah kewangan sebelum kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 September 2017.

Syarikat itu mengalami kerugian selama enam suku berturut-turut sebelum suku ketiga 2017 dan kembali untung dengan didorong terutamanya oleh penerimaan keuntungan daripada penjualan tanah sebanyak RM31.5 juta.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2018 kerugiannya berkurangan kepada RM5.85 juta berbanding kerugian RM22.84 juta pada tempoh sama 2017.

Perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM55.51 juta daripada RM41.51 juta bagi tempoh sama.

Sementara itu semalam, semasa mesyuarat agung tahunannya, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas berkata Utusan Malaysia perlu mempertimbangkan skim pemisahan sukarela (VSS) sebagai sebahagian langkah penstrukturan semulanya.

Beliau dilaporkan berkata bahawa akhbar berbahasa Melayu itu tidak boleh mengenepikan kenyataan tersebut dan VSS berkenaan perlu dilaksanakan, selain langkah pengurangan kos keseluruhan.

“Ini adalah untuk mengelakkan situasi masa depan supaya syarikat tidak menderita kerugian berjuta-juta ringgit setiap bulan,” katanya.

Semasa pasaran saham ditutup hari ini, saham Utusan Melayu susut setengah sen kepada 22.5 sen dengan 7,500 saham diniagakan. - BERNAMA

 

Artikel Lain