suria

Justo buat laporan polis terhadap firma UK

PETALING JAYA: Pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo telah memfailkan aduan jenayah di London ke atas beberapa firma UK dan individu yang didakwa terlibat dalam perjanjian PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis, bekas eksekutif PetroSaudi International itu berkongsi gambar keluarga yang diambil bersama isterinya, Laura dan anak lelaki mereka di premis New Scotland Yard di London.

"Perjuangan belum berakhir, kami akan buru mereka semua dari (peringkat) atasan sehingga bawahan. Jenayah mereka tidak akan dilupakan atau diampuni, tidak pernah!.

"Kami berjuang sebagai keluarga kerana kami sekeluarga menderita! Kami akan hanya berehat apabila penjenayah ini akan ditahan, bukan sebelum itu," katanya.

Menerusi mesej kepada The Star, Justo menyenaraikan beberapa individu dan firma yang disebut dalam aduan jenayahnya kepada polis UK.

Antaranya, pemilik PetroSaudi Tarek Obaid, ketua pegawai pelaburan PetroSaudi Patrick Mahony, penasihat undang-undang PetroSaudi Timothy Buckland, Briton Paul Finnigan dan pemilik Spy Games Ltd & Marleymanor Ltd Dave Thomas.

Justo turut menamakan Protection Group International Ltd dan Neon Century Ltd.

Sebuah lagi firma di UK yang dipercayai terlibat dalam perjanjian PetroSaudi-1MDB adalah Royal Bank of Scotland (RBS).

Ia sebelum ini dikenali sebagai Coutts & Co Ltd yang dijual pada 2015 di mana Good Star Ltd mempunyai sebuah akaun di syarikat tersebut.

Good Star didakwa dikawal oleh Low Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Jho Low dipercayai menerima AS$700 juta yang disalahgunakan daripada projek usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International.

1MDB, PetroSaudi International, Justo

Artikel Lain