suria

Belum ada kata putus potongan caruman KWSP gaji suami

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mencapai kata putus mengenai potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami untuk suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ini kerana terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diperhalusi termasuk peraturan KWSP.

“…Mengikut Seksyen 51 Peraturan KWSP, tidak boleh disentuh caruman yang diberikan suami (11 peratus). Ketika ini, apa yang ada ialah Skim Persaraan 1Malaysia yang mana suami boleh secara sukarela akan memberi RM250 setahun.

“Jadi kita perlu cari skim yang sesuai dan cara pelaksanaan terbaik untuk caruman tambahan ini. Saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng), kami perlu teliti peraturan (KWSP) dulu,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan rasmi pertamanya ke Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Khamis.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan KWSP berhubung perkara itu.

Dilaporkan pertemuan tersebut antara lain membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman berkenaan selain keperluan suami yang beristeri lebih daripada satu atau yang berstatus ‘househusband'.

Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata hanya dua peratus daripada 11 peratus gaji suami yang dicarumkan kepada KWSP dicadang dipotong untuk tujuan itu. - BERNAMA

KWSP, potongan caruman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain