suria

Peguam Negara tak gugat Mahkamah Syariah

SHAH ALAM: Peguam Negara tidak mempunyai kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan hal berkaitan syariah.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari mengingatkan pengkritik Melayu Islam tidak wajar membangkitkan malah mempolitikkan isu pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

"Saya rasa masyarakat tak faham benda ini. Sebab ia terbawa-bawa dengan isu (Islam). Sebenarnya kalau kita tengok dalam sistem yang disebut dalam Perlembagaan, peranan utama adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan.

"Peguam negara tidak ada kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera. Tiada kena mengena dengan hal-hal Syariah,” katanya dipetik The Malaysian Insight.

Ditanya mengenai kebimbangan peguam negara bukan Islam tidak boleh menasihati Majlis Raja-raja berhubung hal Syariah, Aziz berkata penasihat undang-undang kerajaan tidak mempunyai peranan dalam hal tersebut.

"Jika ada sebelum ini Majlis Raja-raja guna khidmat peguam negara, itu secara 'ad-hoc' sahaja. Itu hanyalah amalan yang timbul dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini," katanya.

Aziz, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, menambah ia bukan kali pertama Malaysia mempunyai peguam negara daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.

Apa yang lebih penting, katanya, peguam negara sebaiknya dilantik daripada kalangan ahli parlimen.

"Saya rasa ramai di kalangan ahli Parlimen layak. Yang lebih 20 tahun pengalaman sebagai peguam seperti Hanipa Maidin, R Sivarasah, Baru Bian dan Ngeh Khoo Kham. Itu antara nama-nama yang saya ingat.

Pemilihan Thomas sebagai peguam negara oleh kerajaan Pakatan Harapan mengundang perdebatan hangat sejak dua hari lalu antaranya menyentuh mengenai isu agama, kaum dan konflik kepentingan.

Thomas berketurunan India Malayalee dan penganut Kristian, serta pernah mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kes rasuah.-SinarHarian



Aziz Bari, Tommy, Peguam Negara

Artikel Lain