suria

Hal syariah luar bidang kuasa AG, M'sia pernah ada AG bukan Melayu

Dr Shad Saleem Faruqi.

PETALING JAYA: Idea mengenai Peguam Negara (AG) yang baharu seharusnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam supaya individu tersebut boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan Syariah, merupakan antara yang menjadi perhatian, bertentangan dengan apa yang digubal dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 145(3) meletakkan sebarang prosiding yang membabitkan mahkamah Syariah di luar kuasa Peguam Negara," kata pakar undang-undang perlembagaan, Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Klausa tersebut menyebut Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa dalam semua perkara kecuali perkara berkenaan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

"Pertikaian mengenai perlantikan seorang Peguam Negara bukan Islam adalah tidak berperlembagaan, boleh dikatakan sebagai tidak masuk akal," kata Dr Shad kepada The Star

"Peguam Negara mestilah individu yang serba boleh. Dalam keadaan sekarang, kualiti yang paling penting adalah seseorang itu perlu terikat kepada konstitusionalisme dan memahami undang-undang asas kita, Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Kerajaan mencadangkan untuk melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dilaporkan keberatan mengenai pilihan itu kerana Thomas adalah bukan Melayu Islam.

Bagaimanapun, di bawah Perkara 3(5) Perlembagaan, sebuah majlis boleh diwujudkan oleh undang-undang bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan hal ehwal agama Islam.

"Jadi, tiada masalah sekiranya Peguam Negara adalah orang bukan Islam," tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia pernah mempunyai Peguam Negara bukan Melayu sebelum ini.

Ini termasuk Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959) dan Cecil M. Sheridan (1959-1963) semasa negara merupakan Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, selepas itu kesemua perlantikan adalah dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Artikel Lain