Muhyiddin tak kenal 'Datuk Amin' - Semasa | mStar

Muhyiddin tak kenal 'Datuk Amin'

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa beliau mengenali individu bernama 'Datuk Amin' yang didakwa terlibat dalam sindiket kemasukan pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini.

Malah, Muhyiddin turut menegaskan tidak wujud sebarang perbincangan antara beliau dan individu tersebut berhubung dakwaan itu.

"Berhubung dakwaan yang tular di media sosial bahawa saya telah didatangi oleh seorang yang bernama 'Datuk Amin' yang dikatakan terlibat dalam sindiket kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mengenali individu tersebut.

"Tidak ada apa-apa perbincangan antara saya dan individu tersebut mengenai kemasukan pekerja asing Bangladesh ke Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengarahkan supaya kelulusan itu jika ada ditangguhkan sehingga beliau diberikan taklimat terperinci mengenainya.

"Saya telah meminta Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim supaya memberikan taklimat terperinci berhubung dakwaan kononnya KDN memberi kelulusan kepada individu tersebut untuk membawa masuk seramai 80,000 pekerja asing ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan sistem kemasukan pekerja asing ke negara ini untuk mengaut keuntungan.

"Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan menjejaskan kepentingan negara akan diambil tindakan tegas," katanya.

Muhyiddin Yassin , Datuk Amin , Bangladesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ulat tiket: Jangan beli!