suria

"Kita bukanlah nak menganiaya mereka"

PETALING JAYA: Keputusan menamatkan khidmat 17,000 pegawai kontrak melalui lantikan politik menjelang sambutan Aidilfitri bukan untuk menganiaya sesiapa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memberi habuan kepada pegawai yang terlibat.

“Mereka akan dapat habuan mereka untuk hari raya, kita bukanlah nak menganiaya mereka.

“Tapi kita dapati 17,000 orang ini adalah lantikan politik parti lawan bukan parti kerajaan jadi kita kena ambil tindakan,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di sini, Jumaat.

Kelmarin, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kerajaan melanjutkan tempoh notis penamatan khidmat sebahagian daripada 17,000 kakitangan itu bagi memberi ruang untuk mereka mencari pekerjaan lain.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kesemua jawatan tersebut diwujudkan bagi memberi pekerjaan kepada orang parti.

“Bukan diperlukan jawatan itu tapi jawatan itu diwujudkan semata-mata untuk memberi kerja kepada orang parti.

“Selain itu, kita juga dapati pegawai biasa dalam kerajaan juga mencemarkan diri mereka dengan terlibat dalam politik. Mereka berkempen secara terang-terangan, sebab itu kita menyoal kesetiaan mereka terhadap kerajaan baharu,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penamatan kontrak 17,000 kakitangan lantikan politik kerajaan terdahulu dalam usaha menurunkan perbelanjaan kerajaan.

Namun, kedudukan kakitangan sokongan kepada pegawai lantikan politik dan bergaji rendah seperti pemandu akan dikaji semula.-Sinar Online

Tun Mahathir, perdana menteri, pecat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain