suria

Projek mega: P.Pinang tunggu keputusan kerajaan Persekutuan

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulai Pinang sedang menunggu keputusan kerajaan Persekutuan mengenai sama ada untuk mengkaji semula komponen projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata semua cadangan projek telah dikemukakan kepada agensi persekutuan untuk kelulusan dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan.

Beliau berkata rakan pelaksana projek iaitu SRS Consortium bersedia untuk terlibat dengan agensi-agensi persekutuan bagi menyediakan  maklumat tambahan mengenai projek tersebut jika perlu, jika kajian semula dijalankan.

Pada masa ini, kita menunggu keputusan kerajaan persekutuan sama ada projek infrastruktur sedemikian perlu dikaji semula atau ditunda buat masa ini," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Empangan 4 Bukit Dumbar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) di sini hari ini.

Chow mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam yang menggesa supaya projek yang membabitkan kos yang tinggi itu dikaji semula.

PTMP ialah projek yang diusahakan oleh kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion. Ia melibatkan pembinaan terowong bawah laut yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta pengangkutan bas di sebelah pulau dan tanah besar.

Bagaimanapun, Chow berkata kerajaan negeri telah mendapat kelulusan untuk semua ketiga-tiga  projek jalan berkembar di bawah PTMP.

Beliau menjelaskan bahawa projek itu dibiayai  melalui penambakan tanah yang dijalankan oleh sektor swasta dan ia tidak melibatkan pembiayaan persekutuan.

"Lebuh raya pertama iaitu dari Air Itam ke Lebuh Raya Dr Lim Chong Eu hampir siap tetapi kita perlu menunggu sekurang-kurangnya setahun untuk menangani isu-isu lain. Semoa ia tidak akan dikaji semula, kata beliau.Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan mengkaji semula satu lagi projek kategori mega melibatkan projek-projek tebatan banjir.

Sementara itu, Chow yang juga anggota Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Padang Kota berkata  Empangan 4 Bukit Dumbar (BDR4) yang menelan belanja RM9.3 juta dibina untuk menyimpan lebih banyak air terawat untuk memenuhi permintaan bekalan air pada masa depan terutama di selatan Pulau Pinang.

Beliau berkata permintaan air Pulau Pinang meningkat sebanyak 11 peratus daripada purata 744 juta liter sehari (MLD) pada 2008 kepada purata 826 MLD pada 2017.

"Kita mesti merancang untuk masa depan bagi mengelakkan krisis air kerana kita tidak mahu rakyat menderita dan BDR4 akan memberi manfaat kepada kira-kira 315,000 pengguna dan beribu-ribu perniagaan yang terletak di selatan pulau itu," katanya.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain