suria

Satu lagi kematian akibat Rabies di Sarawak

KUCHING: Satu lagi kematian akibat jangkitan Rabies dicatatkan pada Khamis,  menjadikan kes penyakit ‘anjing gila' di Sarawak yang dikesan sejak sekitar pertengahan tahun lalu sehingga kini telah meragut 10 nyawa.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru membabitkan seorang wanita berumur 21 tahun dari Kampung Joran Bari, Serian, yang mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing itu pada 20 April lepas.

Beliau berkata sejak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang disahkan di kalangan manusia adalah 11 orang, .

Katanya, daripada jumlah itu 10 kes telah meninggal dunia, manakala, satu kes telah didiscaj dari hospital dengan defisit neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

“Kes (wanita itu) telah mendapatkan rawatan luka dan suntikan anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan telah dinasihati untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian pada keesokan hari, namun beliau tidak pergi ke klinik tersebut.

“Anjing yang menggigit kes adalah seekor anjing liar yang diambil dan dipelihara oleh ayah wanita itu tiga minggu sebelum kejadian ini berlaku, dan anjing itu juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-Rabies,” katanya dalam satu kenyataan di laman web kpkesihatan.com pada Jumaat.

Noor Hisham berkata wanita itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 20 Mei lepas kerana mengalami kesakitan dan lemah di bahagian bahu kanan selama empat hari.

Beliau berkata keadaan wanita itu bertambah teruk apabila menunjukkan simptom halusinasi, demam serta hilang refleks pada kedua-dua tangannya, dan disahkan meninggal dunia pada puku 5 pagi Khamis.

“Sampel klinikal kes dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), KKM pada 31 Mei dan disahkan positif rabies.

“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa pencegahan jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies di kalangan anjing, jesteru orang ramai perlu memberi kerjasama dengan membawa haiwan peliharaan untuk divaksinasi," katanya.

Selasa lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang dipengerusikan Timbalan ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah mengisytiharkan kawasan Kampung Selarat Sematan di daerah Lundu, sebagai kawasan baru wabak rabies, menjadikan jumlahnya sehingga kini menjangkau kepada 31 kawasan di lima bahagian dalam Sarawak. - BERNAMA

Rabies, KKM

Artikel Lain