suria

Waran tangkap untuk Jamal

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan waran tangkap kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos pada Jumaat.

Selepas memberi masa yang secukupnya kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu untuk tampil menyerah diri dan memberi kerjasama dalam membantu siasatan yang dijalankan ke atasnya, polis terpaksa bertindak mengeluarkan waran tangkap.

"Beliau tetap gagal dan sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang cuba menggambarkan bahawa keselamatan dirinya terancam.

"Pihak polis telah pun memohon untuk mendapatkan waran tangkap terhadap beliau atas kesalahan di Bawah Seksyen 224 Kanun  Keseksaan, iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

"Waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang," jelas Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad Puzi meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai Jamal kepada mana-mana balai polis yang berdekatan.

Pada 30 Mei lalu Jamal gagal hadir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan seperti mana yang dijanjikan pada pukul 2 petang.

Namun dalam masa sama Jamal telah menghantar kenyataan berkaitan kegagalannya hadir ke balai polis menerusi rakaman video. Menurut Jamal, beliau bukan menolak pelaksanaan undang-undang terhadapnya.

"Tetapi apabila nama saya disenarai hitam oleh Imigresen dan diletakan dalam pemerhatian polis sebagai orang yang berbahaya sehingga mengikut maklumat, saya boleh ditahan di bawah akta yang tidak memungkinkan saya akan dilepas dengan jaminan.

"Cara undang-undang melayan saya seolah-olah saya bukan seorang warganegara yang dijamin hak serta kepentingan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Rumah saya diserbu, keluarga saya diburu ketakutan dan cara polis memburu saya seolah-olah mereka ditekan oleh penguasa yang berkuasa sekarang dan saya dilihat seolah-olah melakukan jenayah berat serta mengkhianati negara yang saya cintai ini," katanya yang dilihat seperti berada di kawasan ladang kelapa sawit.

Jamal Yunos, PDRM

Artikel Berikut

Artikel Lain