suria

Piala Dunia 2018: RM40 juta bukan belanja hangus tapi...

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM40 juta bagi siaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di RTM ketika negara dihimpit masalah kewangan mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen.

Ada yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pembaziran kerana jumlah peruntukan sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.

Namun, seorang ahli perniagaan, Zulhafidz Yahaya tampil memberi penjelasan berhubung isu berkenaan agar netizen tidak cepat melatah dan memahami keputusan yang dibuat kerajaan.

Jelas beliau, keputusan kerajaan itu bukanlah satu pembaziran tetapi akan membawa pulangan pelaburan (ROI) jutaan ringgit kepada RTM, stesen televisyen milik kerajaan.

"Betul ke RM40 juta untuk Piala Dunia tu belanja hangus? Ada orang RTM beri penjelasan RM40 juta tu bukan belanja hangus, RM40 juta beli hak penyiaran sebulan.

"Iklan 10 saat waktu penyiaran tu berharga RM15k, 30 saat iklan RM30k. (Contoh per slot, biasanya airtime tak jual per slot, ada pakej-pakej terus untuk sepanjang penyiaran etc. Tambahan, peak rate beza dengan normal ratecard)

"Sepanjang hari ada dua atau tiga perlawanan. Sepanjang 1 jam sebelum perlawanan ada berapa iklan... 15 minit halftime berapa iklan muat, 1 jam selepas perlawanan lagi, iklan waktu ulangan siaran lagi. Darab dengan bilangan perlawanan dan siaran.

Penjelasan Zulhafidz di Facebooknya mengenai keputusan kerajaan membelanjakan RM40 juta bagi siaran Piala Dunia 2018 dikongsi hampir 10,000 kali oleh netizen.

"RM40 juta pelaburan bakal dapat lebih daripada 250 juta (anggaran) pulangan kepada RTM milik kerajaan.

"Orang niaga mesti tahu bab trafik penyiaran, kandungan pelaburan etc. Belanja 40 dapat 250, bukan belanja hangus," kata Zulhafidz.

Malah, katanya, keputusan tersebut juga merupakan sebahagian usaha untuk menaik taraf RTM dalam tempoh enam bulan seperti yang diarahkan kementerian.

"Awani telah ambil langkah drastik sejak PRU14, rating naik berganda kerana pendekatan baharu, Mediaprima TV3 jatuh dan rugi beberapa tahun kerana pendekatan mereka bawah kerajaan sebelum ini.

"RTM agak perlahan berpuluh tahun dikenali sebagai media propaganda kerajaan sahaja, rating rendah. Selamat Pagi Malaysia tak lincah macam, MHI, NLKO, Assalamualaikum, etc. RTM style 80an, jadi menteri baru nak hidupkan semula RTM menjadi lebih baik.

"Piala Dunia 2018 jadi batu loncatan untuk tarik penonton, dan tarik penyedia kandungan untuk menjual kandungan terbaik kepada RTM dengan grafik terbaik dan motion reel terkini," katanya.

Pada masa sama, Zulhafidz berkata kerajaan baharu turut bersikap telus kerana memaklumkan peruntukan sebenar yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Zabivaka, maskot rasmi Piala Dunia FIFA 2018.

"Dulu kita tak tahu langsung berapa kerajaan bayar itu ini untuk apa apa tema perayaan, RTM, contoh majlis warna-warna Malaysia di Dataran Merdeka, Citrawarna etc, rakyat tak tau.

"Tapi kerajaan baharu ni telus, beritahu serba serbi hal perbelanjaan awam, yang mana perkara baharu yang bagus. Cuma keghairahan pada angka-angka ini akan berlaku pada pihak pembangkang," katanya.

Zulhafidz berkata keputusan tersebut juga diambil kerana kerajaan mahu memecahkan monopoli Astro yang memperoleh keuntungan pengiklanan berskala besar menerusi siaran Formula Satu (F1), MotoGP dan Piala Dunia.

"Kerajaan kini nak memecahkan monopoli itu, agar Astro akan kurangkan bil tuan-tuan bila syarikat itu dah tak dapat monopoli. Bila ada persaingan sihat, Astro akan turunkan harga mereka nanti.

"Kalau kerajaan nak paksa Astro turun harga pakej mereka, kerajaan kena bayar pampasan atau beri subsidi jika mereka setuju turunkan harga. Seronok tak kalau harga astro murah? Seronok tak kalau harga internet murah?

"Kerajaan tak boleh desak mana mana pihak untuk turun harga (bukan keperluan am) sebab itu hak peniaga. Namun kerajaan boleh kawal dengan cara merendahkan kemonopolian perniagaan," katanya.

Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018 yang mana 27 adalah siaran secara langsung manakala 14 lagi siaran tertunda.

Gobind dilaporkan berkata Kabinet bersetuju memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan itu.

Piala Dunia 2018, RTM

Artikel Sebelum

Artikel Lain