suria

Polis akan mohon waran tangkap ke atas Jamal

Gambar fail Jamal Md Yunos. Foto NORAFIFI EHSAN/The Star

SHAH ALAM: Polis akan memohon waran tangkap ke atas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selain memperhebatkan tindakan mengesannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah memberikan masa yang cukup untuk Jamal memberi kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan, namun beliau masih gagal untuk memberikan respon sepatutnya.

Malah, Fadzil berkata, Jamal sentiasa cuba berdolak dalik dalam kenyataan viral yang dilakukannya.

“Pihak polis telah menjalankan tindakan mengikut peruntukan undang undang dalam menangani kes- kes yang melibatkan Jamal.

“Setakat ini terdapat baki enam kes yang disiasat melibatkan Jamal selain tiga kes yang telah dituduh di Hospital Ampang Putri pada 25 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, pengamal media yang menunggu kehadiran Jamal di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hampa selepas beliau tidak muncul untuk menyelesaikan proses ikat jaminnya.

Pada Selasa, Jamal menerusi satu rakaman suara yang diedarkan kepada media mendakwa beliau akan hadir ke IPD Ampang Jaya pada Rabu bagi menyempurnakan proses berkenaan.

Sementara itu, Jamal dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, beliau akan tampil ke balai polis untuk menyempurnakan dokumentasi jaminan, namun berharap pihak polis akan memberikan sedikit masa kepadanya.

Beliau mendakwa terdapat usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa mengarahkan pihak polis untuk mengenakan beliau dalam apa jua keadaan walaupun pihak polis memberi jaminan bahawa beliau cuma diperlukan untuk melengkapkan dokumentasi jaminan polis.

“Saya bukan menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila nama saya disenarai hitam oleh Imigresen dan diletakkan dalam pemerhatian polis sebagai orang yang merbahaya sehingga mengikut maklumat saya akan ditahan di bawah akta yang tidak memungkinkan saya akan dilepas dengan jaminan.

“Cara undang-undang melayan saya seolah-olah saya bukan seorang warganegara yang dijamin hak serta kepentingan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Turut diedarkan kepada media satu rakaman video memaparkan Jamal berpakaian t-shirt dan topi hitam berada di kawasan ladang kelapa sawit yang tidak diketahui lokasi dan dalam video berdurasi tujuh minit dan 37 saat itu beliau memberi penjelasan berhubung ketidakhadirannya di IPD Ampang Jaya serta dakwaan ke atas beliau.    

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.

Prosiding pendakwaan Jamal, 48, yang dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di sini, tahun lepas, dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri berikutan beliau sedang dirawat di hospital itu bagi masalah sakit belakang. - Bernama

Jamal Md Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain