suria

Tajuddin tanding jawatan naib presiden?

Tajuddin Abdul Rahman.

SUNGAI MANIK: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan parti itu, akan datang.

Tidak mendedahkan posisi jawatan ditandingi, namun Ahli Majlis Tertinggi Umno itu disebut berkemungkinan akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

Beliau berkata, kesediaan itu tidak lain untuk memainkan peranan baharu membantu mengukuhkan parti dan mengembalikan semula kegemilangan Umno sebagai parti keramat membela kepentingan Melayu.

“Kepimpinan Umno yang terpilih biarlah terdiri daripada orang yang betul-betul memahami cabaran dihadapi sekarang.

“Kesungguhan kita bukan saja untuk tebus kekalahan, tapi untuk menjaga hak rakyat terutama Melayu yang masih perlukan pembelaan.

“Kerana itu, jika mendapat sokongan akar umbi, saya berhajat untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi, apa jawatan itu, saya akan umum secara rasmi dalam sidang media pada Ahad nanti di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, Rabu malam.

Tajuddin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, dengan pengalaman selama 42 tahun dalam Umno dan ketua bahagian sejak 2008, beliau yakin dapat membantu kebangkitan semula parti.

Katanya, keputusan PRU14 lalu membuktikan bahawa sokongan Melayu masih kuat kepada Umno apabila menjadi parti paling tinggi memenangi kerusi di Parlimen iaitu 54.

“Sekarang ni pun ahli di peringkat cawangan masih keluar hadiri persidangan, menunjukkan komitmen mereka kepada perjuangan, kalah tidak bermakna kita tidak berupaya.

“Bagi saya kepimpinan (tertinggi) Umno sangat penting kerana merekalah yang akan memandu parti ini, peneraju kepada lebih 3.7 juta ahli seluruh negara,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan parti itu mempertandingkan jawatan tertinggi pada pemilihan kali ini, beliau berkata, jika ada pilihan tentunya ahli akan buat yang terbaik, naib presiden contohnya, akan ada empat ke lima calon bertanding, jadi ahli punya pilihan mereka. - Sinar Harian

Tajuddin Abdul Rahman

Artikel Berikut

Artikel Lain