suria

Umno: Mas Ermieyati tidak akan bertanding

Mas Ermieyati. Foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan tidak akan bertanding apa-apa jawatan parti di semua peringkat bagi memberi ruang kepada muka baharu.

Jelasnya, ia seiring langkah perubahan total di dalam parti Umno sendiri.

Mas Ermieyati dalam pada itu berharap pimpinan lama Umno memberi ruang kepada muka baharu untuk memimpin, termasuk daripada sayap parti sendiri.

"Buat masa ini, khidmat bakti kepada Masyarakat Masjid Tanah yang telah memberi kepercayaan untuk mewakili mereka di Parlimen satu-satunya menjadi fokus saya.

"Malah, saya juga akan tamat tempoh memimpin Pergerakan Puteri Umno Malaysia untuk diserahkan baton kepimpinan kepada pemimpin Puteri yang lain," katanya dalam catatan terbaharu di laman Twitternya pada Sabtu.

Sebelum ini, Mas Ermieyati berkata, krisis politik yang melanda parti pemerintah BN di Perlis sebagai cerminan punca kenapa Umno ditolak oleh anak muda.

Beliau turut menyifatkan perebutan kuasa berpanjangan menjadi contoh terbaik penolakan anak muda terhadap Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bersetuju untuk memberi tempoh lanjutan masa pemilihan seluruh jawatankuasa termasuk Majlis Tertinggi Umno dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

Jelasnya, RoS bersetuju untuk memberi tempoh lanjutan masa dengan merujuk kepada Fasal 10.16 Perlembagaan Pertubuhan.

Majlis Tertinggi Umno telah menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan Umno dan Wanita, Pemuda serta Puteri Umno dimulakan pada 19 Mei 2018 (Sabtu) sehingga 10 Jun (Ahad) 2018.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 (Sabtu) dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. - Sinar Harian

Mas Ermieyati, Puteri Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Nasi goreng hanya RM2!

Artikel Lain