suria

Maglin isytihar dirinya presiden MyPPP

Kayveas (kiri) dan Maglin.

PETALING JAYA: Konflik antara dua puak Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir.

Kedua-dua pemangku presiden parti, Datuk Seri Maglin D'Cruz dan bekas presiden, Tan Sri M. Kayveas mengisytiharkan bahawa mereka adalah presiden parti yang sah.

Maglin mendakwa bahawa 1,250 perwakilan telah memilihnya sebagai presiden semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) MyPPP ke-64 yang diadakan pada Sabtu.

Beliau juga mendakwa pemecatan Kayveas sebagai presiden telah diterima sebulat suara semasa AGM, sambil mengulangi bahawa MyPPP masih sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

Datuk Loga Bala Mohan dilantik sebagai naib presiden kanan dan Datuk Dr Sivakumar pula naib presiden parti.

"Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberitahu kami secara lisan dua hari lalu untuk meneruskan dan mengadakan AGM. RoS berkata, ia akan membuat keputusan selepas dua AGM diadakan," kata Maglin.

Puak lain yang menyokong Kayveas akan mengadakan AGM pada Ahad.

Maglin berkata, kebanyakan ahli majlis tertinggi yang dilantik adalah kekal.

"Kira-kira 85 peratus ahli majlis tertinggi yang dipilih sejak 2014 masih kekal dan bersama kami," katanya.

Maglin berkata, parti itu akan mengemukakan dokumen berdasarkan AGM kepada RoS pada minggu depan.

Pada 20 Mei lalu, Maglin berpendapat bahawa Kayveas tidak lagi menjadi anggota MyPPP pada 25 April.

Menurut Maglin, beliau telah mengarahkan peguamcara parti itu untuk memulakan tindakan terhadap Kayveas yang didakwa menyalahi undang-undang, merujuk kepada kenyataannya bahawa MyPPP memutuskan untuk keluar dari BN.

Pada 30 April lalu, Kayveas menerusi akaun media sosialnya, menarik balik surat peletakan jawatannya dan mengisytiharkan dirinya masih sebagai presiden parti.

MyPPP, Maglin D'Cruz, M. Kayveas

Artikel Lain